AZHARINA letak diri pada kedudukan yang terhormat sesuai dengan usia kerjaya dibina
AZHARINA letak diri pada kedudukan yang terhormat sesuai dengan usia kerjaya dibina
Sudirman Mohd Tahir

LAMBAKAN penyanyi baru yang muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan diakui mewarnai lagi industri hiburan tempatan.

Malah, tidak dinafikan kehadiran mereka mengubah graf seni kebanyakan artis lama sedia ada terutama dari segi pembabitan dalam program televisyen dan tawaran membuat persembahan.

Bagaimanapun, penyanyi terkenal, Azharina tetap bersyukur apabila undangan menyanyi masih berpihak padanya terutama daripada beberapa syarikat ternama dan pihak istana negeri.

Dalam masa sama, Azharina, 35, atau mesra disapa Nina berkata, dia juga masih menjaga prestij kerjayanya dengan tidak menurunkan bayaran sesuka hati semata-mata ingin sentiasa tampil membuat persembahan.

“Ini tahun ke-19 saya berada dalam industri. Banyak pengalaman sudah dilalui termasuk jatuh dan bangun. Alhamdulillah, sampai sekarang saya masih diberi kepercayaan atas bakat dimiliki.

“Dari dulu sampai sekarang, saya menyanyi kerana minat dan menjadikan ini kerjaya. Jadi, saya tanam dalam diri untuk sentiasa berikan yang terbaik. Saya tidak membelakangkan peredaran zaman, cuma masih mengekalkan prinsip dan cara bekerja sedia ada.

“Lagi satu, saya sentiasa percaya pada rezeki Allah SWT. Kalau orang lain sanggup turunkan bayaran semata-mata nak dapatkan ‘job’ (kerja), tidak mengapa. Saya yakin rezeki lain pasti ada,” katanya.

HARAP tahun ini muncul dengan single yang dapat beri nafas baru dalam nyanyiannya.
HARAP tahun ini muncul dengan single yang dapat beri nafas baru dalam nyanyiannya.

Azharina yang popular menerusi lagu Elegi Sepi berkata, pada usia sekarang bukan masa untuk mencipta kontroversi murahan semata-mata untuk tampil relevan.

Sebaliknya, Azharina meletakkan diri pada kedudukan yang terhormat sesuai dengan usia kerjaya dibina.

“Dulu saya sudah lalui macam-macam. Apabila sudah berada pada tahap sekarang, ada perkara lain yang lebih penting apatah lagi saya sudah memiliki dua anak.

“Fokus kini lebih terarah pada kerjaya dan keluarga. Saya bukan remaja lagi untuk buat perkara yang bukan-bukan yang akhirnya hanya memakan diri.

“Kalau ada yang masih bersikap ingin bersaing dengan cara menjatuhkan orang lain, silakan. Jika itu hanya untuk kesenangan diri sendiri, tapi akhirnya hidup tidak tenang, baik lupakan saja.

“Macam saya, biar hidup dengan apa yang ada asal saja lebih tenang dan selesa. Alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan sekarang dan Allah permudahkan segala-galanya,” katanya.

Lagu baru

Azharina yang pernah muncul dengan lagu berjudul Lakar Janji pada 2018 akur apabila karya itu kurang mendapat tempat di hati peminat berbanding single terdahulu.

Namun, Azharina tidak pernah mengaku kalah kerana semangat terus berjuang dalam dirinya tidak pernah padam.

Selepas dua tahun, Azharina berharap tahun ini dia muncul dengan single yang dapat memberi nafas baru dalam kerjaya nyanyiannya.

“Selama ini saya mencari juga lagu baru yang sesuai, tapi tiada yang kena. Saya pula jenis yang sangat teliti dalam perkara ini. Saya tidak mahu asal boleh.

“Malah, saya terbuka untuk bekerja dengan sesiapa saja sama ada komposer baru atau lama. Macam komposer muda, saya yakin mereka ada idea segar.

“Dari segi genre lagu, saya tetap dengan jenis muzik sama. Sebab banyak maklum balas diterima daripada peminat yang rindu nak saya menyanyikan lagu seperti Elegi Sepi, Di Hari Persandingan Mu, Rawan dan banyak lagi,” katanya.

Berkongsi mengenai kehidupan peribadi, Azharina berkata, dia semakin sibuk menguruskan dua anak lelakinya iaitu Rahmat Azharin Azhar, 6, dan Redha Azharin Azhar, 3.

“Rahmat sudah bersekolah tadika. Jadi, dia sangat aktif dan tahu banyak perkara. Kadang-kadang, penat juga nak layan dia, tapi begitulah budak yang semakin membesar.

“Kehadiran mereka melengkapkan lagi hidup saya. Setiap hari ada saja telatah mereka yang membuatkan saya tidak pernah bosan. Pendek kata, kehidupan saya tidak sunyi.

“Kalau tiada kerja, rutin saya sama macam suri rumah lain iaitu kemas rumah, memasak dan uruskan anak. Macam sekarang, masa banyak di pejabat. Jadi, urusan hantar dan jemput anak sekolah saya serahkan pada pemandu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 6:00 AM