KEMUNCULAN Raja Ema menyampaikan lagu popularnya ditunggu peminat.
KEMUNCULAN Raja Ema menyampaikan lagu popularnya ditunggu peminat.
Ridzuan Abdul Rahman

Jangan melihat pada usia, tetapi nilailah pada pengalaman dan kemampuan mereka untuk terus bertahan dan menghiburkan peminat.

Inilah yang dapat diperkatakan mengenai persembahan lapan penyanyi terkenal 1980-an, Datuk Nassier Wahab, Rohana Jalil, Shidee, Razis Ismail, Salwa Abdul Rahman, Zur Eda, Ibnor Riza dan Raja Ema yang menjayakan persembahan Setangkai Irama 80’an di Restoran D’ Empangan Udang Galah, Putrajaya, baru-baru ini.

Kerinduan peminat terutamanya yang seusia mereka terlerai apabila barisan artis ini tampil mendendangkan lagu popular mereka suatu ketika dulu.

Memori lama seakan-akan diimbas kembali apabila mendengar lagu Sekali Aku Jatuh Cinta, Masih Ingat Tak Lagi, Memori Cinta Luka nyanyian Nassier Wahab, Rintik-Rintik Hujan, Jangan Main Mata, Rayuanku (Rohana Jalil), Lama Tak Jumpa, Pelitaku (Zur Eda) dan Mawarku, Hadirmu Membawa Sinaran (Razis Ismail).

Tidak ketinggalan, peminat dibuai keasyikan menikmati lagu Angan-Angan, Jejaka Idaman nyanyian Raja Ema, Meneka Dalam Kesamaran, Mimpi Yang Tak Sudah (Ibnor Riza), Sayang Semuanya Sudah Terlambat, Amy, Janganlah Menghancurkan (Shidee) dan Cubit-Cubit Sayang, Satu Dua Kau (Salwa Abdul Rahman).

IBNOR Riza
IBNOR Riza

Kesabaran peminat termasuk dari Singapura menanti persembahan artis akhirnya terungkai apabila aktres dan pengacara yang tidak asing lagi, Fauziah Ahmad Daud tampil membuka pentas pada jam 9.30 malam.

Dia yang sememangnya dikenali dengan keletah tersendiri berjaya menghidupkan suasana dari awal persembahan sehingga berakhir pada jam 12 tengah malam.

Persembahan ini turut mendapat sokongan artis seangkatan mereka yang hadir antaranya Azizul Khamis, Datin Suliza Salam, Datin Maria Arshad, S Maryam, S Atan, Mek Habsah dan ramai lagi.

AKSI Zur Eda yang menyanyikan lagu Lama Tak Jumpa.
AKSI Zur Eda yang menyanyikan lagu Lama Tak Jumpa.

Tidak terkecuali persembahan ini turut disaksikan penyanyi seperti Ezad Lazim, Nizam Laksamana, Azharina Azhar, Mac Rahayu, Sahri dan Izzmad Harun yang rata-ratanya memuji kemantapan vokal artis senior ini.

Persembahan anjuran Nassier Wahab Production ini turut berjaya menarik kehadiran Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar yang hadir bersama isterinya.

Nassier yang ditemui mengakui amat berpuas hati dengan perjalanan majlis termasuk sambutan hebat yang ditunjukkan peminat dan orang kenamaan.

“Saya lihat semua yang terbabit memberikan komitmen 100 peratus dan sebaik persembahan berakhir, ramai peminat datang mengucapkan tahniah dan minta diadakan ‘roadshow’ pula.

“Insya-Allah selepas ini kami akan buat beberapa persembahan di Kuala Lumpur dan di luar Kuala Lumpur. Bahkan ada juga penganjur dari Singapura yang tempah kami untuk persembahan artis 80’an,” katanya.

NASSIER Wahab
NASSIER Wahab

Menurutnya, dia juga merancang mengadakan persembahan artis 80’an sempena Minggu Setiausaha tahun ini.

“Lokasinya masih dalam perbincangan lagi dan insya-Allah ia berjalan seperti dirancang. Selain itu, Istana Budaya juga ada mempelawa kami mengadakan Konsert 80’an dan perkara ini masih dalam perbincangan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Nassier turut menyumbangkan RM20,000 keuntungan daripada persembahan anjurannya itu untuk tabung mangsa banjir di Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 2:33 AM