AZHARINA bawa lagu-lagu hit seperti Elergi Sepi, Rawan, Seandainya, Lakar Janji.
AZHARINA bawa lagu-lagu hit seperti Elergi Sepi, Rawan, Seandainya, Lakar Janji.
Najiy Jefri


PERSEMBAHAN penuh rasa dan energetik, itu ungkapan yang sesuai untuk menterjemahkan konsert solo Azharina Azhar yang berlangsung meriah di Royal Teater, Shah Alam, Sabtu lalu. Siapa sangka, impian untuk merealisasikan konsert solo akhirnya terlaksana apabila lebih 800 peminat memeriahkan acara yang diberi nama Concert Azharina: Queen Of Soul.

Azharina ketika ditemui usai persembahannya menzahirkan rasa syukur apabila segala yang dirancang berjalan dengan baik meskipun terpaksa melalui pelbagai rintangan menjelang konsert terbabit.

Katanya, meskipun berpuas hati masih ada kekurangan sepanjang konsert terbabit dan memohon sejuta kemaafan.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati, cuma diakui ada kekurangan ketika konsert terbabit berlangsung. Namun, pemuzik sudah melakukan sehabis baik dan berjaya melakar sejarah indah buat semua.

TURUT berduet dengan Lan Solo.
TURUT berduet dengan Lan Solo.

“Apa yang boleh saya katakan, dari segi persembahan hanya 70 peratus sahaja kerana kekangan waktu yang terlalu singkat untuk berlatih bersama pemuzik atas tuntutan tanggungjawab lain yang perlu dilakukan.

“Hari pertama latihan iaitu Khamis lalu saya hanya dapat menyanyikan tiga lagu sahaja manakala sehari sebelum konsert, saya hanya dapat menyanyikan setiap lagu sekali sahaja tanpa ada latihan penuh.

“Dari segi vokal juga ada sedikit kekurangan namun saya sudah berikan sepenuh jiwa raga. Jadi, saya berpuas hati. Alhamdulillah,” katanya.

Menerusi konsert yang berlangsung selama dua jam itu, juara Gegar Vaganza musim ketiga itu berjaya memukau penonton yang hadir dengan pilihan lagu hit seperti Elergi Sepi, Rawan, Seandainya, Lakar Janji dan diakhiri dengan lagu terbaru, Kau Kasihku.

Selain lagu-lagu popular yang dibawakan, konsert itu turut dirancakkan lagi dengan penampilan penyanyi terkenal Lan Solo menerusi lagu Memburu Impian dan Selagi Ada Mimpi serta lagu duet bersama Azharina bertajuk Sudah Kahwin Ke Belum.

Ditanya mengenai perancangan untuk mengadakan konsert di Sabah pada masa akan datang, Azharina berkata, dia akan cuba merealisasikan impian itu.

AZHARINA puas hibur 800 peminat di konsert solo  FOTO: Saddam Yusof
AZHARINA puas hibur 800 peminat di konsert solo FOTO: Saddam Yusof

“Doakan semoga perancangan saya dan pasukan produksi untuk mengadakan konsert buat peminat di sana tercapai. Kami memang teringin mengadakan konsert di Sabah,” katanya.

Bercucuran air mata tatkala Azharina mengimbau kembali kembara seni dan pasang surut yang dilalui sepanjang hampir dua dekad berjuang di pentas seni.

“Malam ini saya agak emosi kerana terkenang detik awal pembabitan sebagai penyanyi yang datang dari Sabah ke Kuala Lumpur untuk mengejar cita-cita. Satu perjalanan yang bukan mudah tetapi berjaya ditempuhi berkat sabar dan kerja keras.

“Saya pernah digelar penyanyi tempelan namun saya sabar dan apa yang membuatkan saya terus kekal sehingga ke hari ini kerana adanya peminat setia yang dianggap sebagai malaikat kecil saya.

“Apabila terkenangkan detik itu saya pasti akan menitiskan air mata dan memori itu jugalah membuatkan saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan untuk terus berkarya. Muzik sudah sebati dengan jiwa saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 5:00 AM