AZHARINA. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
AZHARINA. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Sudirman Mohd Tahir

Single Cinta Terbagi Dua ciptaaan Julfekar yang dilancarkan awal tahun ini nampaknya gagal menyerlahkan kerjaya seni penyanyi Azharina Azhar.

Meski ramai meletakkan harapan tinggi untuk melihat Azharina, 33, pergi lebih jauh selepas muncul juara program Gegar Vaganza musim ketiga, tuah belum berpihak kepadanya.

Tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak atas kegagalan lagu itu, Azharina tetap percaya kepada rezeki. Malah, Azharina tidak mahu mengalah sebaliknya akan terus mencuba.

Mengakui ada sedikit rasa terkilan melihat kebangkitan rakan seangkatan Misha Omar dan Siti Sarah, Azharina bagaimanapun tumpang gembira pencapaian yang diraih mereka menerusi lagu masing-masing.

“Saya sedar ramai menaruh harapan tinggi terhadap lagu Cinta Terbagi Dua. Apabila yang dirancang tidak menjadi, saya anggap belum ada rezeki. Bagi peluang kepada rakan lain pula. Hidup ini ibarat roda. Saya sudah berusaha buat yang terbaik untuk lagu ini.

“Malah saya juga sudah menghantar pencalonan Muzik Muzik 33, namun dimaklumkan belum ada slot. Walhal saya sudah hantar sejak Februari lalu. Bagaimanapun, saya faham dan ambil kira beberapa faktor. Mungkin mereka ada alasan tersendiri kenapa lagu ini tidak dicalonkan.

“Namun, saya tetap optimis yang lagu ini ada kejayaan tersendiri terutama dari segi penyampaian kerana diselitkan elemen rock. Saya tidak pernah menyanyikan elemen sebegini dalam lagu sendiri. Pada usia sekarang, saya selesa untuk mencuba. Sebenarnya lagu ini sangat kuat tetapi tiada rezeki,” katanya.

Mengenali semangat juang penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini, dia tidak akan menyerah. Biarlah orang berkata apa saja mengenai dirinya, setiap yang dilakukan adalah demi kepuasan diri.

Sesuai dengan prinsip dibawa, kejayaan akan hadir jika terus berusaha. Disebabkan itu, Azharina yang juga ibu kepada dua anak lelaki mengambil keputusan merakamkan lagu baru berjudul Lakar Janji hasil ciptaan sepenuhnya Dr Irma.

“Dr Irma menawarkan saya lagu ini pada penghujung 2016 iaitu selepas menang program Gegar Vaganza musim ketiga. Namun, disebabkan jadual padat kami hanya dapat berjumpa pada Februari tahun lalu.

“Pertama kali mendengar lagu ini saya berasa tidak yakin. Saya mengambil masa lebih sebulan untuk membuat keputusan. Saya maklumkan lagu ini perlu banyak penambahbaikan terutama muzik. Jadi, Dr Irma pun gubah semula. Selepas itu, baru lagu ini nampak warna. Cuma perjanjian kami, lagu ini akan dirakam pertengahan tahun ini,” katanya.

Menggunakan pengalaman selama 18 tahun dalam industri, Azharina turut menyumbang idea supaya lagu itu lebih menarik.

“Ini kolaborasi pertama saya dengan penerbit wanita. Saya mempercayainya sebab dia memberikan kebebasan untuk saya mewarnai lagu ini. Selain minta pendapat dia juga mengikut cita rasa saya.

“Memandangkan muzik asal lagu ini ringan, saya beri idea menggunakan 40 penyanyi koir dan rakam muzik secara langsung. Jadi, kos menghasilkan lagu ini tinggi berbanding lagu saya sebelum ini. Namun, kami gembira dengan hasilnya. Saya dapat kepuasan menerusi lagu ini.

“Lagu ini akan dilancarkan serentak dengan video muzik rasmi pada Oktober ini,” katanya.

AZHARINA bersama model dalam muzik video lagu Lakar Janji. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
AZHARINA bersama model dalam muzik video lagu Lakar Janji. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

Keluar zon selesa

Berbanding Elegi Sepi, Seandainya, Sekian Terima Kasih dan banyak lagi, lagu Lakar Janji dianggap sangat mencabar.

“Lagu ini adalah ‘power ballad’. Sebelum ini saya selalu menyanyikan lagu melankolik besar. Lagu ini memaksa saya masuk studio dua kali bagi proses rakaman.

“Bukan sebab tidak boleh nyanyi, tetapi ‘key’ lagu ini mencabar dan tinggi untuk saya nyanyi. Selama ini semua lagu adalah zon selesa saya. Jadi, menerusi lagu ini saya keluar dari zon selesa itu. Bagi saya, tidak salah saya berbuat demikina. Kiranya, ini sisi berbeza saya,” katanya.

Apa yang pasti, jauh di sudut hati Azharina dia menginginkan kejayaan menerusi lagu itu. Jika ada rezeki, dia bersyukur dan jika sebaliknya, dia tidak akan berputus asa.

“Saya mengharapkan lagu ini boleh jadi terbaik dan berjaya daripada lagu sebelum ini. Kalau boleh setaraf dengan lagu Elegi Sepi. Syukur, sepanjang 18 tahun dalam industri ramai menyokong perjuangan saya.

“Mereka yakin dengan bakat saya sebagai penyanyi dan penghibur. Cuma apabila bercakap soal tuah dan rezeki, kita tak boleh jangka. Jadi, saya berharap dan berdoa ke arah itu. Kalau berjaya, saya bersyukur. Apa yang penting kerjaya ini masih diteruskan. Macam pernah dikatakan sebelum ini, saya tidak akan berhenti menyanyi,” katanya.

Perkembangan lain, Azharina bakal menjayakan konsert berskala besar pertama yang dijangka berlangsung pada Disember ini atau awal tahun depan di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Menariknya, konsert anjuran bersama Azharina Entertaiment dan Atlas Entertainmet itu mendapat tajaan dan sokongan penuh Kerajaan Negeri Selangor.

“Sejak dimaklumkan mengenai perkara ini, saya sangat teruja. Apatah lagi ia impian saya selama ini. Saya sudah membayangkan ada orkestra dan koir. Ini konsert pertama berskala besar saya di negara sendiri. Saya mahu menjadikan ia sejarah buat diri dan kerjaya.

“Melalui perbincangan, insya-Allah konsert ini bakal berlangsung pada Disember atau awal tahun depan. Saya akan menggunakan orkestra MBPJ dan pasukan koir ASWARA.

“Jika sebelum ini konsert mini di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur berjaya, saya berharap konsert ini juga berjaya. Dewan itu boleh memuatkan 900 penonton,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 9:30 AM