DANISH berjaya seiringkan karier lakonan dan pelajaran sehingga mendapat 9A dalam SPM. FOTO Ihsan Danish
DANISH berjaya seiringkan karier lakonan dan pelajaran sehingga mendapat 9A dalam SPM. FOTO Ihsan Danish
Norhayati Nordin


"DENGAN keputusan 9A diperoleh dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, saya bercadang mahu melanjutkan pengajian kejuruteraan mekanikal di luar negara, kalau ada rezeki," kata pelakon remaja, Danish Adam, 17.

Danish cukup dikenali menerusi drama Keluarga Iskandar yang disiarkan Astro sebanyak dua musim dan kini akan ke layar perak pula.

Apapun, Danish memberitahu dia juga mengharapkan semoga mendapat penajaan sekiranya berpeluang melanjutkan pengajian ke luar negara nanti.

Mengulas mengenai cara pembelajarannya, kata Danish dia hanya memberi fokus 100 peratus di dalam kelas dan memanfaatkan kelas tambahan di sekolahnya.

"Saya bersyukur dan gembira dengan keputusan ini. Ia hasil usaha saya yang giat mengulangkaji pelajaran biarpun sibuk juga dengan karier lakonan," katanya.

Memandangkan dia belajar di sekolah berasrama, Danish berkata dia juga sering mengulang kaji secara berkumpulan dengan rakan.

"Untuk karier lakonan, saya biasanya akan terlebih dulu berbincang dengan pihak sekolah sebelum menerima tawaran bagi memastikan jadual kerja tidak menjejaskan pelajaran dan aktiviti sekolah.

"Selain itu, saya juga tidak lupa untuk mengulang kaji sendiri termasuk membuat kerja sekolah ketika di lokasi penggambaran," katanya.

Danish atau nama sebenarnya Wan Danish Adam Wan Hishamuddin mula berlakon pada usia 11 tahun dan sentiasa mendapat keputusan cemerlang di dalam akademik mahu pun kokurikulum di sekolah.

Pun begitu, sedar namanya belum di tahap popular seperti pelakon remaja lain, Danish tidak berkecil hati dan sentiasa berpandangan positif.

Selain Keluarga Iskandar, Danish juga pernah membintangi beberapa drama lain seperti Ummi di TV3 sekitar 2013 dan Berlima Ramadan untuk RTM pada 2015 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 5:53 PM