DANISH Iskandar
DANISH Iskandar
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Danish Iskandar, 17, menerima banyak mesej daripada netizen yang terkejut apabila dia berlakon dalam siri bertemakan gay berjudul Stay Away From Me.

Danish ketika dihubungi berkata, netizen turut mempersoalkan status seksualitinya apabila memilih untuk berlakon dalam siri yang bakal ditayangkan pada 5 Disember ini di aplikasi temu janji gay dan penstriman video. 

"Ramai yang menghantar mesej (DM) kepada saya, tapi kebanyakannya tidak mengecam sebaliknya mempersoalkan mengenai kemunculan saya dalam siri itu. Ada yang tanya sama ada itu benar atau tidak. 

"Tak kurang juga, ada yang mempersoalkan status seksualiti saya dan tanya soalan seperti sama ada saya 'top' atau 'bottom'. Ingin dijelaskan, itu hanyalah lakonan semata-mata dan saya lelaki sejati," katanya kepada Harian Metro. 

Danish bagaimanapun memilih untuk tidak mempromosikan siri itu.

"Mereka (produksi) meminta saya untuk mempromosikan filem ini dan menjanjikan bayaran lain. Tapi, saya pilih untuk tidak berbuat demikian. 

"Saya pun tak sangka ramai sebenarnya pengguna aplikasi itu dan sekiranya saya hanya promosikan poster sekalipun, tetap ada logo aplikasi itu," katanya. 

Menurut Danish, dia pada awalnya tidak tahu menahu mengenai jalan cerita siri itu kerana penjelasan yang diberikan ketika pertama kali bermesyuarat dengan pihak produksi adalah kurang jelas. 

"Saya sendiri terkejut apabila terdapat babak romantik membabitkan dua pelakon lelaki utama iaitu saya dan seorang lagi pelakon. 

"Ketika mesyuarat pertama, jalan ceritanya tidak terlalu jelas dan 'storyboard' yang diberi juga tidak membabitkan babak-babak sebegitu. 

"Ketika penggambaran dijalankan, lebih separuh daripada proses penggambaran awal adalah baba biasa dan selepas itu, barulah pihak produksi menambah beberapa babak termasuklah babak romantik. 

"Saya pun tak boleh nak tarik diri memandangkan proses penggambaran pun dah hampir selesai. Jadi, saya terpaksa teruskan juga," katanya. 

Siri itu mencetuskan kontroversi dan menjadi bualan apabila video promosi mula tular di aplikasi TikTok sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 2:04 PM