BERAZAM terus meninggalkan impak dalam industri muzik. FOTO Sony Music Malaysia
BERAZAM terus meninggalkan impak dalam industri muzik. FOTO Sony Music Malaysia
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


BEROLEH pencapaian membanggakan menerusi single terdahulu berjudul Pulang, Insomniacks terus berazam menghasilkan karya terbaik.

Hakikatnya, kumpulan ini sentiasa mengutamakan idea segar dalam penulisan lagu dan menyentuh hati masyarakat.

Bagaimanapun, kumpulan dianggotai Iqie (penyanyi dan gitar utama), Wan (bass), Gavin (dram) dan Danial (gitar irama) tidak mahu elemen keremajaan dalam diri dilupakan memandangkan mereka kini dalam fasa meniti usia remaja.

Terbaharu, Insomniacks tampil dengan lagu baharu berjudul Kepala Batu yang mana menggambarkan perasaan geram dan pemberontakan yang seiring dengan usia remaja yang dalam peralihan ke usia matang.

Iqie mengakui lagu ciptaan mereka bersama komposer Taja itu menyerlahkan lagi keterbukaan band terbabit tampil dengan karya yang bersifat peribadi.

Judul itu memang dipilih sebagai menyimpulkan inti pati mesej yang cuba mereka sampaikan dalam lagu berkenaan.

“Dalam konteks lagu ini sendiri, kepala batu itu bermaksud degil. Liriknya banyak menceritakan mengenai apa yang kami rasakan sepanjang berada dalam industri muzik. Walaupun kerap mengutarakan idea sendiri namun idea itu sering ditolak.

“Justeru dalam lagu ini, kami ingin menyampaikan bahawa tidak salah menjadi degil untuk tujuan yang betul. Kita harus memperjuangkan perkara yang kita percaya dan sangat cintakan dalam hidup. Kalau orang lain tak faham, jangan peduli mereka tapi paling utama kena percaya pada diri sendiri,” katanya.

Mendengar melodinya pula, Kepala Batu tidak banyak lari daripada karya terdahulu mereka dan masih sarat dengan elemen pop rock.

Seiring dengan keremajaan mereka, cara lontaran Iqie untuk bahagian vokal juga dilakukan lebih nakal namun tegas.

Namun begitu, dia tidak menafikan penghasilan lagu ini agak mencabar.

“Saya rasa lagu ini paling kompleks dari segi susunan dan komposisinya jika dibandingkan dengan lagu-lagu sebelum ini. Dari segi penggunaan instrumen pula, lagu ini ada banyak persamaan dengan single lama kami Selalu berbanding Pulang,” katanya.

Dalam pada menaikkan topik keras kepala dalam lagu ini, Insomniacks berharap pendengar mengintepretasi mesej lagunya dari sudut positif.

Mereka tahu, bukan semua bernasib baik dianugerahkan kehidupan yang indah.

Namun, menerusi lagu ini, mereka berharap ia jadi pedoman buat yang hidupnya penuh kesulitan.

“Sebenarnya lagu ini membawa mesej yang sangat baik jika didengari dan dihadam secara teliti. Liriknya sangat dekat dengan jiwa kami sendiri dan mempunyai nilai peribadi yang cukup besar mengenai hidup kami. Kami yakin, ramai di luar sana juga pasti merasai perkara sama seperti dalam lagu ini,” katanya.

Berazam untuk memperkaya lagi karya mereka, pembabitan Taja dalam menghasilkan lagu ini juga satu kelebihan.

Bagi mereka, bekerja dengan komposer berpengalaman dan tersohor itu menjadikan lagu ini lebih bermakna.

“Proses untuk menulis dan merakam lagu ini mengambil masa yang agak panjang dan berlaku percanggahan hala tuju kreatif lagu ini sehinggalah kami membawa masuk Taja untuk menjadi penerbit bersama. Ternyata ia percaturan terbaik apabila proses pembikinannya terus bertukar menjadi lancar,” katanya.

Kumpulan yang pernah dicalonkan untuk kategori Top 5 Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32 (ABPBH32) itu juga mahu terus berpegang teguh dengan prinsip berkarya mengikut aliran muzik yang dicintai.

Misi mereka bukan sekadar mengejar untuk membuat lagu yang hit segera, sebaliknya mahu mencapai kejayaan setimpal dengan kualiti karya dihasilkan.

Kepuasan sebenar Insomniacks adalah apabila ramai terkesan dengan karya mereka.

“Apa yang kami paling pentingkan dalam berkarya adalah menghasilkan muzik yang dekat dengan jiwa kami. Kami gembira apabila lagu dihasilkan setakat ini cukup kuat dengan identiti tersendiri kami.

“Kalau pendengar menerima dan menyukainya, itu lebih memuaskan. Berbanding berkarya sekadar memuaskan hati orang, lebih bermakna jika mereka yang suka dengan apa kami buat.

Kami tidak tergesa-gesa pun dalam mengejar kejayaan sekelip mata. Itu rezeki masing-masing dalam industri muzik ini dan kami sudah terlalu bersyukur jika perlahan-lahan ramai mula menerima Insomniacks,” katanya.

Kumpulan ini ditubuhkan pada 2015 dan pada 2017, menghasilkan single pengenalan berjudul Selalu yang turut dijadikan runut bunyi drama berjudul My Coffee Prince.

Drama adaptasi dari Korea Selatan itu ditayangkan menerusi saluran Astro Ria.

Pada 2018, lagu Pulang mereka menerima penstriman yang tinggi di pelbagai platform muzik dan mendapat lima kali platinum daripada jumlah keseluruhan muat turun penstriman.

Insomniacks turut diiktiraf sebagai satu-satunya kumpulan dengan lagu paling lama berada dalam Carta RIM (Persatuan Industri Rakaman Malaysia) sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 6:00 AM