SHEERY Al Haddad bergandingan bersama Alif Satar sebagai pengacara Anugerah Juara Lagu 33. (Gambar kecil) Nurhul Huda. FOTO Arkib NSTP
SHEERY Al Haddad bergandingan bersama Alif Satar sebagai pengacara Anugerah Juara Lagu 33. (Gambar kecil) Nurhul Huda. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri


LIMA tahun berturut-turut bertindak sebagai Penerbit Eksekutif Anugerah Juara Lagu (AJL), Nurhul Huda Khalid mengakui tertekan untuk memastikan acara gilang-gemilang itu terus kekal relevan.

Nurhul Huda ketika ditemui berkata, setiap tahun penonton mengharapkan sebuah persembahan yang terbaik dan meninggalkan memori indah.

“Tahun ini tentu sekali memberi lebih tekanan kepada saya dan seluruh warga produksi untuk memastikan AJL 33 berlangsung dengan meriah esok.

“Jujur memang takut dan kecut perut apabila tiba acara AJL kerana kami perlu memberi sebuah persembahan yang terbaik dan kepuasan kepada audien,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan akhir AJL 33 yang bakal berlangsung esok, Nurhul Huda berkata, hari ini sudah masuk hari ketiga berkampung dan sudah ada beberapa ‘sound check’ diadakan.

“Malam ini bakal berlangsung pra raptai untuk 12 lagu yang bakal dipersembahkan mengikut giliran serta persembahan pembukaan.

“Petang ini juga bakal berlangsung Debaran AJL 33 yang akan bersiaran secara langsung di TV3 jam 5.30 petang ini,” katanya.

Menurutnya, seramai 1,000 kakitangan bakal berpadu tenaga untuk memastikan AJL 33 berlangsung dengan jayanya esok.

“Kira-kira 1,000 kakitangan terbabit pada penganjuran AJL 33 sejak kami berkampung di Stadium Axiata Arena.

“Kami memang perlukan tenaga produksi yang ramai dan kuat kerana AJL antara acara dinanti-nantikan setiap tahun.

“Kami harap AJL 33 akan berlangsung dengan lancar dan penonton akan terhibur dengan persembahan yang dibawakan,” katanya.

Tirai persembahan AJL 33 dibuka dengan kemunculan Khai Bahar membawakan Luluh, disusuli Jatuh Bangun (Haqiem Rusly menampilkan Aman Ra), Kau Pun Sama (Syamel), Tak Pernah Hilang (Amylea & Kaer) dan Hajat (Hael Husaini).

Turut bersaing Nisan Cinta (Siti Nordiana & Jaclyn Victor), Di Matamu (Sufian Suhaimi), Bunga (De Fam), Semakin (Siti Sarah Raissuddin), Bunga (Ara), Haram (Hael Husaini & Dayang Nurfaizah) dan Sampai Bila (Misha Omar).

AJL 33 yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil menampilkan gandingan Sherry Al Hadad dan Alif Satar sebagai pengacara. Ia bakal dipancarkan secara langsung menerusi TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 3:10 PM