MAJLIS sidang media Konsert XPDC Metal Live & Un Metal. FOTO Amirudin Sahib.
MAJLIS sidang media Konsert XPDC Metal Live & Un Metal. FOTO Amirudin Sahib.
Ridzuan Abdul Rahman


PENCINTA lagu rock umumnya tahu krisis membabitkan anggota kumpulan heavy metal terkenal XPDC yang kini berpecah kepada dua pihak.

Gitaris asal mereka, Izo memilih bekerjasama dengan pemuzik lain dalam kumpulan yang turut menggunakan nama sama.

Mael (penyanyi), Zuar (bass) dan Amy (dram) pula mengambil Jeff sebagai gitaris baru mereka dan kini dikenali sebagai XPDC Kita Peng Yu.

Ramai berpendapat sukar untuk dua kumpulan ini kembali bersatu. Bagaimanapun, Zuar membayangkan tidak mustahil untuk kembali bekerjasama dengan Izo dalam konsert khas bagi meraikan ulang tahun ke-30 penubuhan kumpulan yang pernah bergelar raja funfair itu.

“Ada penganjur konsert yang berhasrat buat konsert dan menghimpunkan anggota asal XPDC.

“Penganjur ini nak jemput Izo turut serta dan bagi kami ia bukanlah masalah besar. Cuma proses ini perlu dilakukan sendiri oleh mereka dan bukannya kami.

“Kami bersikap profesional dan ikut apa yang sesuai. Sekiranya bajet yang ditawarkan agak bagus, untuk apa kami tolak rezeki?,” katanya yang enggan mendedahkan tarikh dan lokasi konsert itu akan berlangsung.

Zuar mengakui tiga dekad penubuhan XPDC amat bermakna kerana bukan semua kumpulan dapat bertahan selama itu.

Oleh itu, seperti kumpulan lain, XPDC juga mempunyai keinginan untuk beraksi di lokasi berprestij seperti Istana Budaya.

“Memang ini ada dalam perancangan tapi kami tak boleh buka mulut selagi belum ada apa-apa kata putus.

“Sekiranya ada, kami sangat berbesar hati kerana bukan senang nak beraksi di IB. Kami dah bergelar otai dan memang layak beraksi di situ. Pasti gempak adunan muzik XPDC dan mini orkestra.

“Ini antara yang kami idamkan tapi semuanya bergantung kepada penganjur dan penaja,” katanya.

Menurut Zuar, perjalanan XPDC amat panjang dan mereka teruja apabila kekal diminati sehingga ke hari ini.

“Peminat dan generasi lama masih ingat kami. XPDC kekal kerana peminat dan tanpa mereka siapalah kami.

“Perjalanan kami ada pahit dan manis tapi itulah kehidupan. Mungkin kami tak jadi sebuah kumpulan yang kekal dengan anggota sama.

“Kami akur dengan suratan yang sudah tertulis. Saya sendiri sebenarnya dan terdetik untuk gantung gitar namun atas desakan peminat, saya akhirnya kekal hingga kini,” katanya.

KUMPULAN lagenda XPDC dari kiri Zuar, Amy dan Jeff. FOTO Amirudin Sahib.
KUMPULAN lagenda XPDC dari kiri Zuar, Amy dan Jeff. FOTO Amirudin Sahib.

Prakonsert buat peminat

Sebagai langkah awal ulang tahun ke-30 mereka, XPDC akan tampil dengan Konsert XPDC Metal Live & Un Metal yang akan berlangsung di BallroomRestoran D’Saji, Taman Tasik Titiwangsa pada 9 Februari ini.

Ia diadakan sebagai penghargaan eksklusif buat peminat yang setia menyokong mereka selama ini.

“Tiket untuk menonton dibahagikan kepada dua iaitu RM130 berserta makan malam dan RM80 untuk mereka yang hanya mahu menonton konsert.

“Ini dianggap sebagai prakonsert menjelang konsert besar kami. Sebelum ini XPDC pernah buat prakonsert di Setor, Jalan Gombak pada November tahun lalu.

“Istimewa persembahan kali ini, kami akan menampilkan banyak lagu sepanjang tempoh dua jam beraksi,” katanya.

Menurutnya lagi, untuk segmen Un Metal, mereka turut memberi peluang kepada penonton untuk menyanyi bersama.

“XPDC ada banyak lagu dan kami akan pilih yang sesuai untuk dipersembahkan. Kami juga rancang untuk buat lagu ini dalam bentuk medley.

“Lokasi ini boleh memuatkan 1,000 peminat tapi memadailah jika yang hadir sekitar 500 orang.

“Peminat kami sebenarnya terdiri daripada pelbagai golongan dan ada yang berjawatan besar. Jadi, mereka sesuai hadir ke tempat begini,” katanya.

Selepas itu, XPDC akan bergerak ke utara dan mengadakan konsert di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 2 Mac. Tiket yang dikenakan berharga RM50.

Peminat yang ingin mendapatkan tiket Metal Live & Un Metal, boleh membelinya di Restoran D’Saji, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 11:11 AM