(DARI KIRI) Kumpulan Xpose, Fakhrul, Taqim, Furhan, Eppy dan Zaim. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
(DARI KIRI) Kumpulan Xpose, Fakhrul, Taqim, Furhan, Eppy dan Zaim. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Norhayati Nordin


MESKIPUN baru memiliki dua single iaitu Sandiwara dan Maafkan Ku, populariti Xpose Band dikekalkan hingga kini.

Malah, momentum berterusan itu cuba diperkukuhkan lagi menerusi kerjasama vokalis Xpose Band, Furhan dengan penyanyi terkenal Indonesia, Nicky Astria.

Sekitar awal Disember tahun lalu, Furhan, 27, terbang ke Jakarta kerana terbabit dengan rakaman semula secara duet bersama Nicky untuk lagu Samar Bayangan.

Furhan berkata dia melihat peluang duet dengan Nicky itu sebagai rezeki untuk Xpose Band terus memahat nama dan membuktikan betapa serius perjuangan muzik mereka.

“Saya pun sebenarnya tak sangka mendapat peluang sebaik ini. Bagi saya, ia sangat bermakna untuk Xpose Band yang masih baru dan perlu lebih bekerja keras.

“Peluang ini sangat berharga, apatah lagi saya juga kagum dengan vokal Nicky yang lunak. Sebagai penyanyi baru, ini pencapaian yang bagus buat saya,” katanya.

Pemilik nama sebenar Ahmad Khairul Furhan Zahari itu berkata, dia juga lega apabila kerjasama merakamkan lagu duet berkenaan berjalan mengikut perancangan.

Ditanya mengenai dakwaan jika dia dianggap menumpang populariti nama Nicky dan lagu Samar Bayangan, Furhan berkata dia lebih selesa melihat perkara itu secara positif.

“Saya tak peduli apa orang nak kata kerana sudah tertulis ini rezeki saya dan Xpose Band. Malah, saya berharap kerjasama ini akan buka peluang Xpose Band melebarkan bakat muzik kami ke negara jiran.

“Kalau ada yang mengatakan saya belum layak untuk berduet dengan Nicky, saya terima dengan tenang dan berlapang dada.

“Bagi saya, orang boleh cakap apa saja. Paling penting, saya perlu bersyukur kerana dapat peluang keemasan ini,” katanya.

Lagu Samar Bayangan ciptaan komposer Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan lirik ditulis Hani MJ.

Karya hebat itu berjaya melonjakkan nama Nicky di persada muzik negara ini dan Indonesia

Nicky merakamkan lagu Samar Bayangan secara solo pada 2000 dan hingga kini masih diminati ramai termasuk pendengar generasi baru.

Menurut Furhan, dia sendiri teruja apabila mendapat tahu akan berduet dengan Nicky menerusi lagu Samar Bayangan yang diberi nafas baru.

“Saya tolak ke tepi perasaan bimbang kerana apa yang lebih utama menyelesaikan rakaman dengan baik.

“Kini, harapan saya semoga lagu Samar Bayangan versi baru ini dapat diterima baik semua pendengar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 6:15 AM