BLACKPINK
BLACKPINK
Georgie Joseph

Annyeonghaseyo! Kumpulan popular Korea Selatan, BLACKPINK yang tampil dengan iklan promosi sebuah platform beli-belah menarik perhatian ramai disebabkan penggunaan lagu Ddu Du Ddu Du untuk iklan berkenaan.

Walaupun mendapat sambutan di pelbagai negara Asia, namun iklan berkenaan menimbulkan perdebatan di Indonesia kerana semua anggotanya berpakaian seksi.

Sebuah petisyen di negara itu diwujudkan individu dikenali Maimon Herawati yang meminta iklan itu diharamkan.

Petisyen yang ditujukan kepada sebuah saluran penyiaran popular di Indonesia itu setakat ini hampir mencecah 100,000 tanda tangan.

Maimon percaya iklan berkenaan sangat tidak sesuai untuk tayangan di Indonesia kerana penampilan BLACKPINK yang mencolok mata dan bertentangan dengan hukum Islam.

“Sekumpulan wanita berpakaian terlalu seksi dan langsung tidak menutup aurat. Apa sebenarnya mesej cuba disalurkan dengan iklan ini?

“Aurat bahagian badan manusia yang mesti ditutup mengikut hukum Islam. Ia juga boleh diibaratkan sebagai bahagian sulit yang perlu ditutup,” katanya.

Sebahagian daripada individu yang menandatangani petisyen berkenaan turut menaikkan isu iklan terbabit ditayangkan sewaktu program kanak-kanak di TV.

“Iklan berkenaan juga kerap dimainkan sewaktu program kanak-kanak ditayangkan. Adakah mengenakan baju singkat sebegitu akan membawa mereka ke seluruh dunia?

“Dengan menjadikan bahagian badan wanita sebagai objek tayangan umum adalah sebuah tindakan yang sah di sisi undang-undang?” demikian antara bantahan itu.

Petisyen berkenaan turut memanggil ibu bapa untuk terus memberikan sokongan dengan menandatanganinya.

Tidak ketinggalan, Maimon turut meminta semua individu yang sudah berbuat demikian supaya memboikot jenama platform beli-belah dalam talian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 11:34 AM