Petisyen yang dilancarkan. FOTO ihsan pembaca
Petisyen yang dilancarkan. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Saufi Hassan


LEBIH 42,000 tanda tangan diperoleh menerusi satu petisyen secara dalam talian yang mencadangkan pendakwah bebas, Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu.

Ia berikutan kekosongan jawatan berkenaan selepas Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama.

Petisyen yang diwujudkan menerusi platform change.org berkenaan selepas ada kelompok mencadangkan beberapa nama lain antaranya Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Rozaimi Ramle dan pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Kamilin Jamilin.

Selain itu, beberapa nama ilmuwan yang lebih memahami Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) turut menjadi calon antaranya pakar hadis, Dr Khafidz Soroni dan pensyarah Kulliyyah Ilmu Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Muhammad Ayman Al-Akiti.

Petisyen berkenaan menerangkan Habib Ali yang juga Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah terbukti sebagai ikon dakwah yang disenangi semua lapisan masyarakat di negara ini dan memiliki keluasan ilmu dalam segenap bidang pengajian Islam.

Pendirian beliau yang sederhana dan tidak senang menghukum sesuatu semestinya mampu menyatukan umat Islam di Malaysia terutamanya di Wilayah Persekutuan.

Pada masa sama, Habib Ali dalam kenyataan media menyatakan individu yang mewujudkan petisyen berkenaan mempunyai tujuan yang baik dengan harapan supaya orang yang bertanggungjawab di dalam hal ehwal agama dapat berkhidmat kepada masyarakat.

“Namun, saya yakin bahawa terdapat ramai ilmuwan yang lebih layak serta pakar dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh.

“Ini kerana tanggungjawab di Jabatan Mufti lebih merujuk kepada bidang hukum-hakam yang perlu dibahaskan secara terperinci.

“Ilmuwan itu juga perlu arif dalam bidang fatwa, berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpandukan Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari dan berpegang kepada mazhab Syafie yang menjadi landasan hukum-hakam di negara ini.

“Semoga orang yang bakal dipilih mempunyai kelayakan berkenaan dan semoga Allah SWT memberkati kita semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 4:16 PM