Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: "Kami sedar diri. Memang kami berasal dari desa dan tidak terkilan apabila dilabel budak kampung serta mat rempit,” kata ketua kumpulan Projector Band, Angah.

Menurut Angah, selepas lagu pertama berjudul Sudah Ku Tahu popular dan mendapat sambutan menggalakkan banyak perkara yang dipelajarinya dan anggota band itu.

"Tidak dinafikan sindiran netizen ada kalanya buat kami terasa hati namun apabila berada dalam bidang ini kami perlu positif dan bersikap terbuka.

"Mana saranan yang baik kami ambil manakala kata-kata negatif kami tolak tepi,” katanya.

Sedang melalui transformasi, Projector Band yang dianggotai Iskandar Zulkarnain Shafin vokalis, Razif Zainuddin atau Angah (gitar utama), Ahmad Khusairi Saferi (bass), Safiq Zainuddin (dram) dan Isnaidi Eidham Razali (gitar kedua) bagaimanapun tidak mudah melatah.

"Kami masih belajar dan jika ada sebarang kekurangan tegurlah secara berhemah. Insya-Allah akan berusaha mengubah apa yang perlu, sesuai dengan kehendak peminat,”kata Angah lagi.

Dalam perkembangan lain, Projector Band tercalon dalam kategori Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-22 manakala lagu Sudah Ku Tahu turut dipertandingkan di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-31 pada Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 7:57 PM