HAFIZ dan Ernie saling memuji kelebihan masing-masing.
HAFIZ dan Ernie saling memuji kelebihan masing-masing.
Sudirman Mohd Tahir


KUALITI vokal dua penyanyi terkenal tanah air, Hafiz Suip dan Ernie Zakrie tidak perlu dipertikaikan lagi. Kelebihan dimiliki mereka berdua berjaya meletakkan diri mereka di kelas teratas dalam kalangan penyanyi di Malaysia.

Malah, baik Hafiz mahupun Ernie, mereka boleh dikatakan antara penyanyi terbaik negara ketika ini. Hampir semua lagu yang dilancarkan mereka berjaya mendapat tempat di hati pencinta muzik sekali gus meraih pengiktirafan membanggakan.

Hafiz sendiri mempunyai rekod yang cukup cemerlang sepanjang lebih 10 tahun pembabitannya dalam bidang nyanyian iaitu bermula selepas muncul juara program Akademi Fantasia musim ketujuh (AF 7) pada 2009.

Malah, Hafiz juga adalah pemenang tiga kali Anugerah Juara Lagu (AJL) dan empat kali memenangi anugerah Vokal Terbaik AJL.

Begitu juga dengan Ernie, selepas menjuarai pertandingan Bintang RTM 2009, kerjaya nyanyiannya terus melekat di hati peminat.

Ernie yang turut menjuarai pertandingan nyanyian Duo Star ketika berpasangan dengan Syamel juga pemenang dua kali anugerah Vokal Terbaik AJL.

Selepas masing-masing mencapai puncak kerjaya, persembahan mereka pada acara Anugerah Bintang Popular BH ke-33 (ABPBH 33) tahun lalu membuka ruang bagi kedua-dua figura terkenal ini meneruskan kerjasama mereka menerusi lagu duet terbaharu Berakhirlah Pencarianku.

Gandingan Hafiz dan Ernie menerusi lagu ciptaan komposer, Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh serta lirik oleh penerbit drama terkenal, Datuk A Aida itu menjadikan lagu terbitan bersama syarikat Nova Music dan Rocketfuel itu cukup istimewa.

Menariknya, lagu Berakhirlah Pencarianku itu juga adalah kerjasama pertama antara Nova Music dan Rocketfuel.

Pertemuan membabitkan Pengarah Urusan Nova Music, Rosmin Hashim dan Ketua Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna membawa kepada kerjasama yang disifatkan projek 'terbaik'.

Ini kerana pemilihan Hafiz dan Ernie bagi menyanyikan lagu berkenaan dianggap tepat berdasarkan kredibiliti dan kecemerlangan dua penyanyi hebat itu. Maka, tidak mustahil baik Nova Music atau Rocketfuel, kedua-dua syarikat mengharapkan pertaruhan ini bakal mencipta sejarah tersendiri.

Tidak hanya itu, lagu Berakhirlah Pencarianku ini turut dipilih menjadi lagu tema drama yang bakal ditayangkan di Astro Ria tidak lama lagi.

Kerjasama pemilik dua vokal terbaik industri muzik Malaysia dalam lagu Berakhirlah Pencarianku juga diibaratkan dua penyanyi ini sebagai mimpi menjadi kenyataan.

Hafiz, 31, atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip berkata, tidak ada sebab untuk dia menolak tawaran itu.

"Alhamdulillah, bagi saya ini projek yang boleh diibaratkan mimpi menjadi kenyataan kerana dapat juga berduet dengan Ernie. Sebelum ini, saya pernah menyaksikan persembahan duetnya dengan protege saya. Pada masa sama dia juga seorang guru vokal.

"Saya tahu dia berbakat besar dan pernah menang vokal terbaik. Apabila kami diberi peluang berduet pada ABPBH tahun lalu, saya berasakan ia kerjasama yang cukup menarik. Dari situ kami berborak dan diakui dia seorang yang senang jalin kerjasama termasuk ketika menyanyi bersama.

"Sama juga dengan pasangan duet saya yang lain sebelum ini. Sejak itu, saya berasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Ernie. Dengan kelebihan yang dimiliki beliau, siapa yang tak nak berduet dengan dia?" katanya.

Menurut Hafiz, kerjsama mereka menerusi lagu itu memberi peluang kepada mereka berdua untuk berkongsi pengalaman yang ada.

"Apa yang saya lalui selama ini menjadi pengalaman. Mungkin itu juga yang membuatkan orang nampak saya di tahap sekarang. Sebenarnya banyak lagi perkara yang saya kena belajar. Daripada segi teknik nyanyian, banyak lagi yang perlu dipelajari jika mahu dibandingkan dengan Ernie. Macam Ernie dia memang belajar perkara itu. Saya belajar juga, tapi lambat. Jadi, dari segi teknik nyanyian, Ernie masih terbaik bagi saya.

"Kalau daripada soal pengalaman, mungkin saya ada sedikit kelebihan sebab saya sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri muzik dan pernah menang pelbagai anugerah. Jadi, apa yang saya nak sampaikan di sini ialah masing-masing ada keistimewaan. Saya tak nafikan Ernie ada vokal yang sangat bagus," katanya.

Sementara itu, Ernie, 29, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri menyifatkan kerjasama menerusi lagu duet Berakhirlah Pencarianku dengan Hafiz sesuatu yang cukup bermakna dalam kerjaya seninya.

"Sejujurnya saya banyak berfikir juga di peringkat awal untuk membabitkan diri dalam projek ini sebab saya baru melancarkan lagu duet dengan Syamel iaitu Goodbye Hello yang juga lagu perkahwinan kami. Tapi apabila dinasihatkan oleh syarikat pengurusan saya bahawa ini adalah peluang keemasan bagi saya, saya berasa rugi kalau ditolak. Lagipun, pelaksanaan projek ini adalah demi kebaikan kerjaya saya sendiri.

"Kita perlu tengok juga pada fokus. Kebanyakan orang tak boleh ada dua tiga fokus perkara yang nak dibuat. Jadi kami pun berbincang. Pada kami, tidak akan timbul sebarang isu asal saja semua tahu komitmen kita apa dan untuk apa.

"Ketika mula diberitahu mengenai projek ini, saya terus terbayang wajah Syamel sebab dari dulu lagi kami saling bekerjasama dalam lagu duet. Tapi mungkin disebabkan saya pernah bekerjasama dengan Abang Hafiz pada ABPBH, saya berasakan Abang Hafiz juga rakan duet yang baik buat saya. Sebab kerjasama dan kefahaman kami itu dah ada," katanya.

Senada dengan Hafiz, Ernie berkata, kerjasama dengan Hafiz juga ibarat mimpi menjadi kenyataan.

"Kerjasama dengan Abang Hafiz juga ibarat mimpi menjadi kenyataan sebab kita tahu dia adalah penyanyi terbaik di Malaysia. Jadi apabila dapat tahu nak digandingkan, takkan nak tolak tuah. Pada masa sama, dia juga penyanyi kegemaran Syamel.

"Jadi apabila dia dimaklumkan mengenai projek lagu duet ini, Syamel cakap saya kena buat dan jangan tolak. Bermakna saya mendapat sokongan dan semangat daripada suami dan tak perlu fikir panjang lagi. Apabila suami dan saya saling memahami, baharulah saya boleh fokus dengan senang hati,"

katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 6:00 AM