ERNIE Zakri dan Syamel. FOTO KakiFoto by Rashidee Azman
ERNIE Zakri dan Syamel. FOTO KakiFoto by Rashidee Azman
Sudirman Mohd Tahir


Kemunculan dua penyanyi berbakat besar, Ernie Zakri dan Syamel pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL) yang bakal berlangsung Ahad ini antara yang dinanti peminat.

Ernie dan Syamel yang mempertaruhkan lagu Aku Cinta ciptaan sepenuhnya Syamel itu juga disebut-sebut sebagai pesaing terdekat Dayang Nurfaizah untuk merebut gelaran Vokal Terbaik.

Apa yang pasti, impian Ernie dan Syamel untuk beraksi di pentas berprestij itu menjadi kenyataan, apatah lagi AJL dianggap kayu pengukur dan penanda aras bagi penyanyi.

Bagaimanapun, Ernie dan Syamel yang juga juara program Duo Star tidak mahu meletakkan harapan tinggi, sebaliknya cuba memberikan persembahan terbaik.

Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 26, berkata, dia ingin menyampaikan lagu itu dengan sepenuh jiwa agar menyentuh hati pendengar.

“Saya aminkan setiap doa mereka yang mahukan saya dan Syamel menang Vokal Terbaik. Setiap orang pasti ingin menang, malah ia perkara biasa. Namun saya tidak mahu terlalu berharap. Apa yang penting sekarang, saya kena jaga kesihatan.

“Biarpun ramai bercakap mengenai kemampuan vokal kami, saya tetap tidak mahu terlalu yakin. Sasaran saya untuk memberikan jiwa kepada lagu ini biar sampai kepada penonton dan pendengar. Selebihnya, biar juri buat penilaian,” katanya.

Menurut Ernie, sebagai penyanyi yang pertama kali beraksi pada AJL, perkara paling ditakuti adalah penerimaan peminat terhadap susunan muzik lagu itu.

“Kalau nak bercakap soal takut, banyak sebenarnya. Perasaan gementar sentiasa ada dalam diri. Namun memandangkan ini peluang yang tidak selalu datang, saya perlu atasi dengan baik.

“Saya bersyukur apabila impian untuk ke AJL dari dulu lagi akhirnya tercapai. Jadi, saya cuba buat sehabis baik. Saya juga yakin Syamel mampu menambah rasa dalam lagu ini.

“Paling penting, susunan muzik lagu ini yang mendapat sentuhan Aubrey Suwito menjanjikan sesuatu yang segar. Saya berharap peminat boleh terima,” katanya.

Ditanya mengenai pesaing terdekat dalam AJL32 nanti, Ernie menyifatkan semua finalis layak kerana masing-masing ada kelebihan tersendiri.

“Susah nak cakap siapa pesaing terdekat. Kalau dari segi lagu, semuanya hebat. Disampaikan secara langsung dengan gubahan terbaru, pasti lebih menarik.

“Tolak tepi Dayang Nurfaizah kerana dia sudah terlalu jauh meninggalkan peserta lain. Bagi saya, Dayang berada dalam liga tersendiri. Kalau nak kata bersaing pun, lebih kepada rakan penyanyi muda lain seperti Khai Bahar dan Haqiem Rusli,” katanya.

Menyentuh perkembangan lain, Ernie bakal muncul dengan single terbaru ciptaan Gouffran dan Sang Hitam.

Lagu yang belum diberikan judul itu berentak balada yang sememangnya menjadi ‘makanan’ Ernie.

“Sebenarnya lagu ini sudah siap tahun lalu tetapi saya tidak puas hati dengan muziknya. Jadi, mereka ubah semula. Selepas lagu Aku Cinta, saya menjadikan ia penanda aras untuk single lain agar lebih baik.

“Tambahan pula, selepas hampir 10 tahun dalam industri, saya berasakan sudah tiba masanya untuk terbitkan lagu yang berkualiti. Jadi, selepas mereka gubah semula, saya suka dan puas hati. Ia seperti yang diingini,” katanya.

ERNIE Zakri dan Syamel. FOTO KakiFoto by Rashidee Azman
ERNIE Zakri dan Syamel. FOTO KakiFoto by Rashidee Azman

Syamel jaga kesihatan

Bagi Syamel yang turut mempertaruhkan lagu solo Lebih Sempurna, apa yang diharapkan pada AJL32 adalah kesihatan yang baik.

“Sama seperti penyanyi lain, saya turut risaukan kesihatan. Paling bimbang jika terkena selesema atau batuk kerana ia boleh mengganggu tumpuan persembahan dan vokal.

“Jadi, apa saya selalu lakukan adalah elak tidur lewat dan kurangkan keluar malam. Kalau tidur lambat, esoknya saya akan selesema.

“Saya mahu segalanya berjalan lancar. Selain itu, saya mahu persembahan nanti meyakinkan diri dan penonton,” katanya.

Syamel berkata, dia tidak mahu terlalu yakin dan terbuai dengan pujian orang ramai. Misinya sama dengan Ernie iaitu memberikan yang terbaik.

“Bercakap mengenai harapan orang, mereka kalau boleh nak saya menang. Jadi, bagi memastikan harapan berkenaan tercapai, saya perlu bersedia. Selebihnya, saya serahkan kepada rezeki Allah. Siapa yang tidak mahu menang.

“Bagi saya, tidak mustahil menang jika segala yang dirancang dipersembahkan dengan baik. Bukan saja saya, malah penyanyi lain pun sama. Begitu juga dengan komposer lain,” katanya.

Meskipun menyampaikan dua lagu, Syamel yakin dia boleh mengekspresikan lagu itu dengan cara dan gaya tersendiri.

Malah, dia berbesar hati apabila dapat bekerjasama dengan pengarah muzik AJL32, Aubrey Suwito yang memberi sentuhan dalam susunan kedua-dua lagunya.

“Saya perlu adil dengan kedua-dua lagu. Tidak ada istilah saya perlu fokus lagu solo saja. Bagi saya, kedua-dua lagu ini ada keunikan tersendiri. Jadi, saya hanya ingin memberikan sepenuh rasa.

“Kedua-dua lagu ini juga memberikan cabaran berbeza untuk saya. Jadi, saya harus fokus dan berikan sepenuh komitmen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 6:37 AM