INDAH bakal keluarkan lagu baru tahun ini.
INDAH bakal keluarkan lagu baru tahun ini.
Michelle Gun


Selepas setahun memperkenalkan single Semua Untuk Cinta, Indah Ruhaila belum menemui karya terbaik untuk diperkenalkan kepada pendengar.

Apabila sudah menemui lagu sesuai nanti, Indah, 31, merancang mencuba genre rancak.

“Lagu saya sebelum ini semuanya balada dan kali ini mahu menampilkan kelainan. Saya pilih lagu rancak kerana muzik seperti itu digemari ramai terutama orang muda,” katanya.

Menurut bekas peserta Akademi Fantasia 2013 ini, lagu baru itu akan dikeluarkan tahun ini.

“Saya sedar mengambil masa agak lama untuk mencari lagu baru disebabkan mahu mencari lagu berkualiti,” jelasnya.

Sebelum ini, penyanyi itu pernah menerima mesej peribadi di Instagram daripada peminat yang bertanyakan sama ada dia masih menyanyi atau tidak.

Dalam perkembangan lain, Indah memaklumkan pengurusan karier seninya kini diserahkan kepada suaminya, Ahmad Shariff Ahmad Taufik.

Menurut penyanyi itu, dia selesa kerjayanya dikendalikan suami kerana mereka sering sependapat.

“Setakat ini semuanya berjalan lancar. Lagipun, suami boleh memberi nasihat dan pendapat mengenai baik buruk sesuatu perkara,” katanya.

Selain menyanyi, Indah mahu berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dan akan mengeluarkan produk sendiri.

“Buat masa ini, perniagaan itu masih dalam perbincangan dan akan diumumkan nanti,” katanya.

Berkongsi kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga tahun lalu, Indah memberitahu dia kini lebih berhati-hati dalam pergaulan.

“Saya masih menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baru ini. Banyak yang saya perlu fikirkan sekarang kerana tidak mahu suami tanggung dosa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 5:22 AM