RAMAI pengiat industri hiburan bersetuju dilaksanakan supaya industri berkembang.
RAMAI pengiat industri hiburan bersetuju dilaksanakan supaya industri berkembang.
Amirul Haswendy Ashari


Sebaik saja kerajaan baru dibentuk, industri hiburan dicurahkan dengan idea mengenai penubuhan Majlis Seni Negara, Majlis Seni Nasional, Majlis Seni Kebangsaan atau apa sahaja yang releven dengan tujuan penubuhan.

Antara yang bersuara ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Sharifah Amani, Iedil Putra malah ada juga persatuan seni tempatan seperti Karyawan turut mengetengahkan hasrat sama.

Sehinggalah laporan berita pada 7 Jun lalu, kehadiran Siti Nurhaliza ke pertemuan Majlis Penasihat Kerajaan yang beliau dipercayai turut membawa cadangan ke pertemuan bersejarah itu.

Cuit Sikit minggu ini mendapatkan pendapat beberapa penggiat seni tempatan yang mempunyai luahan tersendiri mengenai idea penubuhan majlis seni ini.

Ahmad Idham Nadzri (Pengarah, pelakon dan penerbit filem)

“Tidak perlu sebab apa yang ada, sudah okey. Isunya dulu, kenapa industri tidak maju sebab banyak lantikan politik yang merosakkan perlaksanaan pembangunan industri.Contohnya industri filem, sudah ada FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) dan segalanya sudah lengkap, tetapi apabila banyak agenda politik dan ketirisan wang daripada ahli politik menggunakan platform FINAS untuk salur duit, mangsanya adalah industri.

Perlu diingat bawah penubuhan FINAS adalah buah fikiran Tun Mahathir sendiri.

Satu lagi, pada ketika kerajaan sedang mentadbir urus kewangan yang ketat, penubuhan majlis seni akan menambahkan lagi kos.

Jadi, apa kata kita memperbaiki yang sudah ada supaya lebih produktif dan menjimatkan kos.”

Fadzil Teh (Penerbit drama)

“Adalah lebih baik gabungkan semua persatuan seni dan diletak di bawah Majlis Seni ini. Kadang kala, sebagai penerbit saya sendiri tidak faham dan tidak nampak pembaharuan atau perubahan dalam penambahbaikan kepada industri berikutan lambakan persatuan seni.

Majlis seni juga harus main peranan penting dalam menjaga kebajikan anak seni terutama isu royalti yang sekian lama diperjuangkan.Penggiat seni selalu bising sebab tiada kerja untuk mereka, jadi andainya penubuhan majlis ini benar-benar direalisasikan, harap dapat mengkaji isu ini dengan lebih serius.”

Chekem atau Kamarulzaman Taib (Pelakon dan penggiat seni)

“Ia satu cadangan yang baik dan perlu bagi memastikan bidang seni budaya berkembang dan berperanan sebagai penyatu bangsa Malaysia.

Diharapkan majlis ini tidak hanya melihat kepada keperluan seni budaya dalam pembangunan industri dan penjanaan ekonomi sahaja.

Majlis wajar melihat pelbagai sudut dan cabang khususnya keperluan seni budaya dalam membentuk negara bangsa.

Tumpuan harus diberikan kepada pendidikan seni berteraskan akar budaya dalam sistem pendidikan, pelestarian seni warisan dan membangunkan khalayak celik seni bangsa, sastera dan keilmuan kerana sangat kritikal pada hari ini.

“Majlis seni hendaklah menjadi badan bebas bukan di bawah pentadbiran kerajaan dan tidak memihak. Perlu ada dana di bawah majlis yang menyokong usaha pendidikan seni budaya di pelbagai peringkat. Contohi keberkesanan Arts Council Singapura dan Korea Selatan.

Bagaimana agihan dana membantu melahirkan khalayak dan karyawan bertaraf dunia. Penubuhan majlis ini juga perlu lihat peranan agensi sedia ada di bawah Kementerian Kebudayaan seperti JKKN dan Cendana di bawah JPM.

Juga perlu melihat bagaimana majlis dapat menjadi penasihat kepada agensi dan NGO sedia ada supaya majlis dapat berperanan dengan cekap dan wibawa.”

Dr Soo Wincci (Penyanyi dan pemuzik)

“Majlis Seni Negara perlu ada sebab di luar negara ada banyak majlis seni dan ia berjaya membaiki tahap seni di negara terbabit.

Saya berharap seandainya majlis ini dapat direalisasikan, fungsinya mestilah berkaitan menjaga kebajikan anak seni di Malaysia, seperti isu royalti dan bayaran yang setimpal dengan karya.

Setakat ini, industri seni di negara kita belum ada satu struktur yang kukuh jadi sudah tiba masa untuk wujudkannya.

Ia juga mesti adil dan tidak berat sebelah kepada satu bidang seni sahaja sebab seni itu luas dan turut mencakupi bidang teknikal.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 6:29 AM