HM Digital

Black Water adalah filem aksi bajet rendah dibintangi Jean-Claude Van Damme, nama yang pernah popular dengan aksi lasaknya sekitar dua dekad lalu.

Dia kembali sebagai ejen yang dianiaya dan cuba menyelamatkan diri daripada kapal selam, lokasi dia ditahan oleh ejen berpaling tadah.

Apa yang boleh dikatakan, filem ini ibarat hasil gabungan filem Escape Plan dan Under Siege tapi kalau nak dikatakan sama baik dari segi aksi serta lakonan, jauh panggang dari api.

Faktanya adalah filem ini mempunyai jalan cerita yang lemah dan klise. Lebih membuatkan ia membosankan apabila penceritaannya agak meleret pada 40 minit terakhir.

Filem ini cuba memberi kejutan tersendiri dengan mendedahkan siapa musuh sebenar tetapi jujur dikatakan, ia tidak mengejutkan langsung kerana penonton sudah dapat mengagak dari awal.

Aspek aksinya sengaja ditambah untuk beri impak dalam filem, contohnya babak tembak-menembak dalam kapal selam yang seolah-olah tidak beri kesan langsung.

Lebih menyedihkan apabila melihat set filem kapal selam yang tampak ‘murah’ dan terlalu besar untuk meyakinkan penonton betapa aslinya set itu.

Rumusannya, filem ini tidak layak untuk berada dalam kategori A mahu pun B, waima untuk pecah panggung sekali pun.

Jika anda mencari sebuah filem kemunculan semula Jean-Claude Van Damme, ini bukan yang terbaik!

INFO:

FILEM: Black Water

ARAHAN: Pasha Patriki

PELAKON: Jean-Claude Van Damme, Dolph Lundgren dan Patrick Kilpatrick

GENRE: Aksi drama

TAYANGAN: 24 Mei 2018

ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 4:25 AM