London: Perjanjian yang membawa Didier Drogba dan Samir Nasri dari Marseille ke Chelsea dan Arsenal bakal diteliti semula ketika siasatan yang membawa kepada penahanan beberapa individu, Selasa lalu giat dijalankan.

Presiden Olympique Marseille (OM), Vincent Labrune serta dua bekas presiden Jean-Claude Dassier dan Pape Diouf antara individu yang disoal polis berhubung komisyen dan bayaran haram perpindahan membabitkan kelab Ligue 1 itu.

Laporan awal menyebut hanya Labrune, 43, dan Dassier, 73, yang masing-masing ketika itu menjadi badan pengawas dan presiden ditahan berhubung perpindahan Andre-Pierre Gignac dari Toulouse ke OM pada 2010.

Pada awalnya ia dilapor sebagai perpindahan tunggal yang disiasat, namun berita penahanan Diouf menunjukkan skop siasatan polis lebih luas.

Diouf terbabit dengan kehadiran Drogba di Marseille dari Guingamp pada 2003 dan perpindahan penyerang ke Chelsea bernilai £24 juta (RM126.5 juta) selain menjual Nasri dengan harga £15.8 juta (RM83.3 juta) kepada Arsenal pada 2008.

Christophe Bouchet, presiden OM ketika ketibaan Drogba berkata, beliau terkejut apabila mengetahui Diouf, 62, terbabit dalam salah laku.

“Apabila saya melihat komen berkaitan Drogba, ia membimbangkan kerana saya tidak pasti apa yang mereka cari,” kata Bouchet kepada RMC. “Saya mengetahuinya, sama seperti anda. Saya hanya bekerja dengan salah seorang daripada mereka, Diouf dan banyak perjanjian lain kami lakukan, saya melihat dia adil, jelas dan tepat.”

RMC turut melaporkan sumber OM berkata: “Saya bertanya kepada diri sendiri sama ada terdapat sedikit masalah dalam kalangan penyiasat. Seperti perpindahan Drogba, polis tidak memahami kenapa ketika perpindahan itu dilaporkan bernilai €36 juta (RM190 juta), tetapi hanya terdapat €33 juta (RM174.1 juta) dalam akaun kelab.”

Selepas menjuarai Liga Juara-Juara 2012 dengan Chelsea, Drogba memburu kejuaraan lain bersama kelab barat London itu.

“Bukannya €3 juta (RM15.8 juta) berkenaan hilang begitu saja. Cuma Chelsea yang tidak mempunyai kewangan kukuh seperti sekarang, akhirnya memutuskan untuk membayar kami menerusi satu transaksi, kami memberikan mereka pengurangan tiga juta euro (RM15.8 juta).”

Bekas pengarah sukan Jose Anigo yang berada di kelab sepanjang tempoh berkenaan dan hingga musim panas lalu sebelum berpindah ke Maghribi untuk mencari bakat Afrika buat OM, menawarkan diri untuk kembali ke Perancis bagi mengambil bahagian dalam siasatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:05 AM