Nama Arja digugurkan oleh pengurusan stesen TV. FOTO fail HM
Nama Arja digugurkan oleh pengurusan stesen TV. FOTO fail HM
Ramlah Zainal


PELAKON Arja Lee mengakui sangat kecewa dan terkilan kerana namanya masih disenarai hitam pihak stesen televisyen swasta, sejak empat tahun lalu.

Menurut pemilik nama sebenar, Azharudin Ramli, 34, dalam tempoh itu, dia juga tidak dapat sebarang tawaran berlakon daripada stesen televisyen terbabit.

"Bukannya tiada tawaran berlakon drama tetapi setiap kali nama saya dicadangkan produksi, pihak pengurusan stesen TV itu akan menggugurkan nama saya dari senarai pelakon.

"Memang ada sejarah hitam yang berlaku membabitkan saya dengan pihak stesen TV itu dulu tetapi saya sudahpun merayu dan memohon maaf kepada pihak mereka sebelum ini," katanya kepada Harian Metro.

Pelakon yang menempa nama menerusi filem Anu...dalam Botol ini juga pernah meluahkan kekecewaan apa dipendam selama ini menerusi laman sosial Facebook dan Twitternya pada tahun lalu.

"Saya baru kali pertama keluar mengundi dan jika kerajaan yang memerintah boleh bertukar selepas Pakatan Harapan menang Pilihanraya Umum ke 14 (PRU) kenapa pengurusan stesen TV tidak bertukar kepada yang baru dan lebih profesional?

"Saya juga hilang dari industri lakonan ketika nama dikenali ramai kerana nama disenarai hitam pihak stesen TV terbabit.

"Dalam tempoh empat tahun, setiap kali ditanya, pihak pengurusan stesen TV itu beritahu tiada watak yang sesuai untuk saya?

"Saya sedih kerana bakat lakonan tidak dapat dikembangkan kerana saya sangat merindui bidang lakonan," katanya menitiskan air mata.

Mengulas kenyataannya untuk mengembangkan bakatnya ke luar negara sebelum ini, kata Arja, dia terpaksa berfikir panjang kerana cabaran membina nama di luar lebih besar.

"Saya akui pernah merajuk dengan bidang seni tanah air dan ingin membawa diri ke luar negara tetapi saya terpaksa memikirkan ayah yang sudah tua dan berusia 75 tahun.

"Apapun, saya bersyukur kerana ada rezeki lain dalam bidang seni.

"Saya percaya bila Allah S.W.T tarik rezeki dalam bidang lakonan, dia berikan saya rezeki dalam cabang seni lain seperti nyanyian dan pengacaraan pula," katanya.

Antara drama lakonan yang menaikkan nama Arja sebelum ini ialah Misiku Kuza dan Ariana Rose.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 2:56 PM