RAMAI penerbit dan pengarah mula beri kepercayaan kepada Niezam bawa watak utama dalam drama.
RAMAI penerbit dan pengarah mula beri kepercayaan kepada Niezam bawa watak utama dalam drama.
Ramlah Zainal


Selepas tujuh tahun bekerja keras membina nama, pelakon berbakat besar Niezam Zaidi sudah mampu menarik nafas lega kerana bakat lakonannya semakin mendapat perhatian ramai.

Mula mengasah bakat menerusi filem seperti Highland Tower, Budak Pailang dan Longkai, kini, sampai masa­nya, Niezam mengembangkan bakat lakonannya beraksi dalam projek drama untuk stesen TV.

Ternyata, percaturan Niezam menjadi kerana ramai penerbit dan pengarah mula memberi kepercayaan kepadanya untuk bawa watak utama dalam projek drama pula ketika ini.

Antaranya drama bersiri 14 episod berjudul Inikah Cinta bergandingan dengan pendatang baru, Farah Nabila yang bersiaran di Slot Dahlia TV3 sebelum ini.

Selain itu, Niezam berlakon dalam drama bersiri 20 episod, Ainur Mardhiyah arahan Zamri Zakaria yang menghiasi slot Azalea TV9 dan TV3 bermula 22 November lalu.

Drama itu menampilkan barisan pelakon seperti Sura Sojangi, Zahiril Adzim, Khaty Azean, Fara Mendoza, Neera Azizi, Rahim Kidol, Delimawati dan ramai lagi.

Tidak ketinggalan, dia turut berlakon dalam Telefilem Rajuk untuk stesen TV9 dan Mencintaimu arahan Raja Ahmad Alauddin di TV3 pada tahun lalu.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 24, ini mengakui dia bersyukur dengan pencapaiannya dalam bidang seni ketika ini.

“Alhamdulillah, ramai peminat yang mula menyedari kehadiran saya dalam bidang lakonan pada setiap tahun.

“Saya tidak kisah nama lambat dikenali kerana yang penting peminat mengenali dan menilai saya kerana bakat dan bukan gosip ataupun kontroversi,” katanya.

Selepas keluar daripada pe­ngurusan MIG Talent, Niezam berkata, dia mula belajar erti berdikari untuk menguruskan karier seninya sejak dua tahun lalu.

“Pada mulanya saya beri keutamaan pada filem sebab itu saya banyak berlakon filem sebelum ini.

“Saya juga tidak sangka pula peminat lebih menyukai saya berlakon drama dan mungkin kerana mereka berasa lebih dekat dengan diri ini.

“Saya akui ramai peminat yang memberi maklum balas yang sangat positif dan membina menerusi lakonan dalam drama bersiri Inikah Cinta yang bersiaran di TV3 sebelum ini.

“Setiap komen menyuntik semangat untuk beri lakonan yang lebih bagus lagi setiap tahun,” katanya.

Terbaru, Nizam berlakon dalam drama bersiri 20 episod Namaku Bedah arahan Shuhaimi Lua terbitan Tanah Beris filem Production untuk saluran TV9.

Timba sebanyak ilmu dalam lakonan

Walaupun sudah tujuh tahun bergelar anak seni, Niezam menganggap dirinya masih belajar dalam bidang lakonan.

“Terus terang, saya masih anggap diri dalam tempoh pembelajaran. Masih banyak ilmu yang perlu ditimba dalam bidang lakonan.

“Sebagai pelakon, saya tidak pernah puas hati dengan pencapaian sedia ada meskipun ramai yang memberi komen positif dan membina dalam bidang lakonan ketika ini.

“Saya bimbang komen positif yang diberikan akan membuat saya lupa masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki untuk menjadi pelakon berkaliber di gelanggang lakonan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Niezam juga akan menubuhkan kelab peminatnya sendiri tidak lama lagi.

“Ini masanya saya menghargai semua peminat yang menyokong perjalanan karier seni dan pahit getir sejak berkecimpung dalam bidang seni tujuh tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 5:02 AM