FATHIA mahu muhasabah diri dan berhati-hati dalam memberi komen di laman sosial. FOTO Arkib Nurul Shafina Jemenon
FATHIA mahu muhasabah diri dan berhati-hati dalam memberi komen di laman sosial. FOTO Arkib Nurul Shafina Jemenon
Ramlah Zainal


PELAKON Fathia Latiff mengakui dia kini dalam proses memperbaiki diri untuk menjadi insan lebih baik di sisi agama sekali gus dijadikan teladan kepada peminat.

Malah, kata Fathia, dia juga melihat setiap kontroversi yang melanda dirinya ketika ini sebagai ujian Allah S.W.T untuk menguji ketabahan dirinya.

"Secara peribadi, kontroversi demi kontroversi yang melanda diri semakin mematangkan saya dalam meniti jatuh bangun sebagai anak seni.

"Sebab itu, saya mengambil pendekatan untuk berdiam diri sekarang bila nama terpalit dengan kontroversi untuk meredakan serta tidak mahu memburukkan lagi keadaan," katanya.

Katanya, kontroversi yang melanda dirinya secara tidak langsung turut menjejaskan nama baik dan masa depan kerjaya lakonannya.

"Siapa yang tidak berasa kecewa dan merajuk apabila nama digugurkan daripada projek drama pada saat akhir dan nama saya juga seolah-olah disenarai hitam stesen televisyen swasta?

"Kini, saya mahu bermuhasabah diri dan menjadi Fathia yang baru. Saya berharap semoga diri ini diberi peluang kedua untuk kembali aktif dalam bidang lakonan yang diceburi sejak dulu," katanya.

Bagaimanapun, kata Fathia, dia akan lebih berhati-hati untuk mengeluarkan sebarang kenyataan mahupun komen di laman sosial pada masa depan.

"Sebagai selebriti, saya memang tidak arif mengenai isu politik dan komen yang dikeluarkan sebelum ini juga ikhlas sebagai rakyat.

"Namun, kenyataan yang saya buat itu disalahtafsir oleh netizen hingga mencetuskan kontroversi dan menjejaskan nama baik dalam bidang hiburan tanah air ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 11:03 AM