Gandingan mantap Alif dan Nana dalam Klik! Pengantin Musim Salju. FOTO IG Siti Nordiana
Gandingan mantap Alif dan Nana dalam Klik! Pengantin Musim Salju. FOTO IG Siti Nordiana
Norhayati Nordin


PENYANYI dan pelakon, Siti Nordiana Alias atau Nana memberitahu drama Klik! Pengantin Musim Salju berkemungkinan projek terakhir lakonannya bersama pelakon Alif Satar.

Nana, 34, berkata meskipun peminat dan penonton suka gandingan mereka dikatakan serasi di layar, dia enggan terus bergantung dengan Alif.

"Saya yakin Alif memahaminya kerana saya sendiri harus lebih terbuka untuk bergandingan dengan barisan pelakon lelaki lain.

"Setakat ini, selepas Allahyarham Achik Spin boleh dikatakan lakonan saya serasi bersama Alif dan Fikry Ibrahim saja.

"Jadi, ia membuatkan saya harus cari peluang membuktikan bakat sekiranya digandingkan dengan pelakon lelaki lain pula," katanya.

Nana berkata, dia mengharapkan penonton menyokong lakonannya bersama Alif tidak melepaskan peluang terus menonton drama Klik! Pengantin Musim Salju yang kini disiarkan di Astro Ria, jam 7 malam mulai 14 Mei lalu.

Bagaimanapun, Nana tegas menafikan ia ada kaitan wujudnya masalah dia dan Alif di lokasi dan menyangkal kemesraan mereka menjadi sebab isteri Alif cemburu.

"Saya sekadar mahu mencuba dan timba pengalaman berlakon dengan pelakon lain pada masa akan datang. Ia tidak ada kaitan langsung dengan sebarang masalah di lokasi dengan Alif.

"Sepanjang kerjasama saya dan Alif dalam drama Klik! Pengantin Musim Salju sangat profesional. Begitu juga hubungan baik saya dengan isteri Alif yang memahami tuntutan karier suaminya dan dia pun tak cemburukan kami langsung," katanya.

Terdahulu, lakonan Nana bersama Alif dalam drama Dia Semanis Honey pada 2016 mencetuskan fenomena dalam kalangan penonton drama Melayu di negara ini.

Dek kerana keserasian lakonan mereka menyerlah tanpa aksi bersentuhan, Dia Semanis Honey turut diangkat ke pentas teater di Istana Budaya (IB) pada Januari tahun lalu.

Gandingan terbaik Nana dan Alif yang mendapat jolokan pasangan 'Kajol & Shah Rukh Khan Malaysia' itu kini muncul dengan single duet pertama mereka, Sebenarnya.

Menerusi drama Klik!Pengantin Musim Salju arahan Hadith Omar sebanyak 20 episod, Nana melakonkan watak Kasih Lateefa, seorang fotografer manakala Alif sebagai Adam Putra iaitu ahli perniagaan muda yang berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 1:15 PM