NANA, Alif komited apa saja permintaan untuk digandingkan kini mahu ruang berehat seketika.
NANA, Alif komited apa saja permintaan untuk digandingkan kini mahu ruang berehat seketika.
Norhayati Nordin


Sejak digandingkan dalam drama Dia Semanis Honey pada 2016, penangan lakonan Siti Nordiana Alias atau Nana, 34, bersama Alif Satar, 28, ternyata menambat hati peminat.

Turut mendapat jolokan ‘Mrs Honey’ dan ‘Mr Bee’, pasangan serasi di layar ini juga dilabel sebagai ‘Kajol & Shahrukh Khan Malaysia’.

Namun, Nana dan Alif sepakat untuk mereka berehat seketika daripada bekerjasama dalam lakonan kerana enggan peminat bosan jika terus digandingkan.

Ditemui pada sesi fotografi sempena Aidilfitri di Hotel Putra Kuala Lumpur baru-baru ini, mereka mengakui sudah menunaikan semua permintaan peminat.

Menurut Nana, sedar betapa besarnya impak peminat dalam kerjaya seni mereka, dia dan Alif sudah berusaha sebaik mungkin memuaskan hati peminat masing-masing.

“Sejak drama Dia Semanis Honey lagi, kami sangat komited dengan apa saja permintaan peminat. Peminat mahukan lima episod tambahan istimewa, kami bekerjasama dalam Dia Semanis Honeymoon.

“Tidak cukup itu, peminat inginkan telefilem pula, kami tampil dengan Dia Semanis Honey Raya. Hingga akhirnya terus membawa saya dan Alif beraksi di pentas teater menerusi Dia Semanis Honey The Muzikal di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Januari tahun lalu,” katanya.

Nana berkata, demi sokongan baik peminat juga, dia dan Alif berganding buat kali kedua dalam drama Klik! Pengantin Musim Salju yang ditayangkan di Astro sepanjang Ramadan lalu.

“Selain drama, sebagai bonus untuk peminat kami turut berganding menghasilkan satu single duet istimewa iaitu Sebenarnya yang menjadi lagu tema drama itu.

“Bahkan, untuk peminat juga kami bekerjasama dalam Konsert Just Us Alif Satar & Siti Nordiana yang akan berlangsung di Singapura pada 31 Ogos depan.

“Jadi, rasanya untuk tahun ini kami berdua sekali lagi sudah pun menunaikan impian peminat. Terima kasih di atas sokongan diberi,” katanya.

Mengakui Alif juga sudah banyak membantunya dalam bidang lakonan, Nana berkata, dia tidak akan sesekali melupakan jasa penyanyi dan pengacara popular itu.

“Kini, apa yang saya harap peminat kami faham dan menerima baik keputusan ini. Beri saya dan Alif ruang untuk kami berehat seketika dari bekerjasama.

“Apapun, andai masih ada rezeki kami suatu hari nanti, saya yakin tidak akan menolak kerjasama itu. Cuma, bukan dalam masa terdekat,” katanya.

Berkongsi juga cerita sambutan Aidilfitri, Nana yang sudah sedekad bersatus ibu tunggal memberitahu dia selesa bersederhana.

“Saya hanya utamakan keperluan anak, Mohd Rayyan Nakhaie, 10, ibu bapa dan keluarga. Untuk diri sendiri, syukur busana hari raya saya dapat penajaan. Itulah rezeki.

“Apapun, selepas Aidilfitri ini saya akan sibuk dengan komitmen latihan untuk konsert. Semoga peminat yang hadir nanti akan terhibur,” katanya.

Nana yang meraikan Aidilfitri di Sendayan, Negeri Sembilan berkata, memandangkan jadual seninya yang padat, dia belum memutuskan untuk mengadakan rumah terbuka buat peminat.

Bersyukur dengan bahang populariti yang terus dikecapnya, Nana berkata, dia tidak pernah menduga akan kekal berada pada tahap dimilikinya kini.

Alif utama masa keluarga

Tidak pernah menduga dirinya berjaya mengecap populariti sebesar ini selepas membintangi drama Dia Semanis Honey, dua tahun lalu, Alif akui kini dia puas.

Apatah lagi, bukan hanya sinar bakat lakonannya saja menyerlah, tetapi seiring dengan bidang nyanyian dan pengacaraan.

Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar ini, walaupun jadual kerjanya kini agak sibuk, tetapi ia amat berbaloi untuk dia dan keluarga.

“Sebagai ketua keluarga, sibuk bekerja itu memang tanggungjawab saya. Tetapi, masa bersama keluarga adalah keutamaan,” katanya.

Menurut Alif, dua anaknya iaitu Alisha Anugerah, 3, dan Ariana Mecca yang berusia setahun empat bulan pun masih kecil. Jadi, mereka memang perlu perhatian.

“Justeru, bagi memastikan ruang masa keluarga itu sentiasa ada, saya biasanya akan membawa isteri dan anak bersama jika bekerja di luar ibu kota,” katanya.

Menurut pengacara program bual bicara di ntv7, Its Alif ini, apa yang pasti penat lelahnya bergerak dalam tiga cabang seni itu mendapat pulangan setimpal.

“Saya melakukan tiga kerja serentak kerana minat. Jujur diakui, ia tidak dilakukan kerana wang semata-mata. Bagi saya, paling utama seronok melakukannya.

“Peminat pun sudah nampak bakat saya walaupun perlu ambil masa lebih sedekad untuk dikenali dan popular. Ternyata peminat menyokong saya kerana bakat.

“Status perkahwinan juga tidak menjadi halangan buat mereka (peminat) teruskan sokongan. Terima kasih semua,” katanya.

Mengakui gandingannya bersama Siti Nordiana menjadi dan disukai ramai, Alif memberitahu dia tetap hormati keputusan Nana.

“Kami sudah berbincang untuk membuat keputusan berehat seketika daripada terus bekerjasama.

“Ini kerana kami perlukan ruang supaya lakonan tidak menjadi stereotaip apabila selalu diganding bersama walaupun kami tahu peminat akan tetap terima,” katanya.

Berkongsi juga mengenai sambutan Aidilfitri, Alif berkata, dia bersama isteri, Sha Dila Halid, 34, meraikannya di ibu kota.

Katanya, dia sekeluarga meraikan Aidilfitri secara sederhana kerana yang paling utama peluang berkumpul dengan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 8:36 AM