SINGLE Selamatkan Aku tanda hubungan akrab Aepul, Aweera, Fiq.
SINGLE Selamatkan Aku tanda hubungan akrab Aepul, Aweera, Fiq.
Norhayati Nordin


Walaupun arena muzik tanah air kini makin berkembang dan banyak perubahan berlaku, masih ada yang mengecewakan.

Apatah lagi, wujud segelintir penyanyi yang hanya mempertaruhkan paras rupa. Mahu membukti betapa bakat seni dimiliki itu besar nilainya, maka Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim tekad bekerjasama.

Tahun lalu, mereka bergabung sebagai trio merakamkan single Selamatkan Aku ciptaan Aepul.

Bertemu mereka dalam sesi fotografi baru-baru ini, kelihatan hubungan persahabatan dijalin agak akrab.

Aepul, 30, berkata, walaupun kerjasama untuk single Selamatkan Aku sebagai titik percubaan, ia juga tanda persahabatan mereka.

“Saya, Fiq dan Aweera sudah kenal lama dan berkawan baik. Kami juga adalah penyanyi lagu rock.

“Di antara kami, masing-masing memiliki tahap vokal tersendiri dan pendengar boleh menilainya menerusi single Selamatkan Aku,” katanya.

Aepul yang juga penyanyi Drama Band berkata, satu kerjasama menarik apabila berganding dengan rakan rapat.

Aepul juga mengakui dia tidak menduga single Selamatkat Aku diterima baik pendengar.

“Saya juga tak sangka video muzik single Selamatkan Aku di YouTube menjadi perhatian ramai.

“Ini kerana promosinya belum rancak lagi ketika muzik video itu dimuat naik di YouTube. Boleh dikatakan tanpa sebarang promosi meluas penerimaan pendengar terhadap single itu di luar dugaan,” katanya.

Dalam masa tujuh bulan dimuat naik di YouTube, ia mencatat lebih 600, 000 jumlah tontonan.

Menurut Aepul, kekuatan single itu diyakininya pada melodi mantap dan lirik yang jelas ke arah kerohanian.

Fiq tak pernah hilang

Sedar betapa kejayaan dan populariti seseorang penyanyi itu bergantung pada rezeki, Fiq mahu terus berusaha.

Mula menceburi bidang nyanyian pada 2006 selepas muncul juara program Mentor musim kedua di TV3, Fiq tahu laluannya mungkin berliku.

Namun, pemilik nama sebenar Mohd Firdaus Abdul Halim, 36, ini mengakui dia tolak ke tepi segala kekecewaan itu dan terus melangkah.

“Di antara kami bertiga, nama saya belum kukuh dan masih terkial-kial mencari haluan.

“Bagaimanapun, saya tidak peduli semua itu kerana perlu harus teruskan usaha jika mahu berjaya. Malah, saya bertuah ada ramai rakan yang menyokong.

“Oleh itu, apabila Aepul mengajak saya dan Aweera merakamkan single Selamatkan Aku, ia peluang berharga.

“Saya harus ambilnya untuk mencuba memandangkan kekuatan muzik kami pun sama iaitu rock,” katanya.

Pernah menjadi protege kepada Amy Search, anak seni kelahiran Sandakan, Sabah ini juga tidak bimbang jika didakwa menumpang nama Aepul dan Aweera.

“Biarlah apa yang orang hendak kata, apa yang pasti saya tahu kami bertiga sudah merakamkan single Selamatkan Aku ini sebaik mungkin dengan paduan vokal tersendiri.

“Melihatkan kepada komen ditulis pendengar selepas menonton video muzik single ini, syukur kebanyakannya amat positif,” katanya.

Menurut Fiq, dia gembira apabila mesej dimuatkan dalam lirik single Selamatkan Aku dapat disampaikan dengan jelas kepada pendengar.

Aweera sahut cabaran

Walaupun Aweera, 27, kini penyanyi kumpulan Prime Domestic, impak vokalnya masih terkesan pada lagu Andaiku Bercinta Lagi dan Roman Cinta.

Apatah lagi, dengan nada tinggi vokalnya yang harus diakui Aweera adalah seorang penyanyi berpotensi jika bakat nyanyian dimiliki digilap sebaik mungkin.

Berbicara pengalamannya merakamkan single Selamatkan Aku, Aweera berkata, dia begitu tertarik dengan melodi lagu itu.

“Saya dapat rasakan ada aura tersendiri pada single Selamatkan Aku ini dan ditambah lagi apabila kami merakamkannya secara trio.

“Ini kerjasama kali pertama saya bersama Aepul dan Fiq walaupun kami sudah berkawan lama,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nasharul Aweera Noriyissham ini berkata, dia umpama mencabar diri sendiri ketika merakamkan single berkenaan.

“Terus terang, saya dapat rasakan tahap vokal nada tinggi saya agak tercabar apabila menyanyikan single Selamatkan Aku.

“Saya berpuas hati kerana single ini secara tidak langsung membuktikan kemampuan tahap nyanyian kami bertiga.

“Kami tidak berlawan vokal untuk single ini, tetapi sekadar mahu memberi ruang untuk pendengar menilai,” katanya.

Mengulas mengenai video muzik yang umpama menampilkan bayangan mereka bertiga, Aweera berkata, objektif utama single itu adalah vokal.

“Saya, Aepul dan Fiq mahu pendengar membuat penilaian terhadap sesuatu lagu itu bersandarkan vokal sahaja.

“Tanpa melihat wajah penyanyinya, secara tidak langsung ia memberi ruang untuk pendengar menilai kekuatan melodi dan lirik pada lagu,” katanya.

Aweera berkata, sudah tiba masanya pendengar muzik masa kini lebih menilai melodi dan lirik dalam lagu berbanding berpaksikan pakej penyanyi sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 4:57 AM