AEPUL
AEPUL
Norhayati Nordin

PEKA dengan keadaan semasa yang kini ‘panas’ dengan sikap ‘kluster kayangan’, Drama Band muncul dengan lagu baru berjudul Kayangan.

Lagu ciptaan bersama Aepul Roza dan Daus SRK dengan lirik ditulis Aepul itu dianggap sangat padu dalam kalangan warganet yang ‘ditembak terus’ pada kelompok terbabit.

Dua hari lirik video lagu itu dimuat naik Aepul di saluran YouTube, ia sudah ditonton 50,000 kali dengan lebih 400 komen positif diterima daripada warganet.

Mengulas ilham lagu itu, Aepul ketika dihubungi berkata, idea datang ketika dia bermain gitar dengan ditemani anaknya, Alisha, 5.

“Saya memang selalu dapat idea buat lagu di rumah kalau bermain dengan Alisha. Ketika itu, saya terbaca satu Tweet mengenai kumpulan barisan hadapan negara dilayan teruk oleh ‘kluster kayangan’ dalam usaha mereka menangani penularan jangkitan wabak Covid-19.

“Terus saya dapat idea, ada cerita yang boleh dibuat lagu untuk perkongsian masyarakat. Pada masa itu, saya dan Daus saja bekerjasama siapkan lagu ini,” katanya kepada Harian Metro.

Aepul juga menjelaskan dia mengambil masa sekitar satu hari setengah bersama Daus untuk menyiapkan lagu itu sepenuhnya.

Mengakui sudah cukup ‘berlapik’ dalam penulisan liriknya, Aepul berkata, dia tidak sangka lagu Kayangan itu mendapat maklum balas sangat positif.

“Saya ucap terima kasih dengan sokongan diberi pendengar pada lagu ini. Drama Band hanya berkongsi karya muzik kami. Kalau ada yang nak kata karya ini menjurus sindiran, saya hanya buat lagu apa yang sesuai pada masa itu

“Menjadi pendirian saya, untuk Drama Band diterima melalui hasil kerja muzik kami yang mampu memberi impak pada masyarakat. Kami tak ada konsep yang dirancang pun. Asalkan ada cerita nak disampai, orang faham dan boleh fikir, syukurlah,” katanya.

Menurut Aepul, menjadi objektif Drama Band untuk semua karya mereka meluahkan cerita realiti yang terjadi dalam masyarakat dan kehidupan.

Menerusi komen kebanyakan pelayar YouTube, mereka memuji ketulusan Aepul bersama Drama Band dalam berkarya menghasilkan lagu yang sarat mesej buat tatapan umum.

Malah, ramai juga dalam kalangan warganet meminta Aepul dan Drama Band menghasilkan lagu khas sebagai pembakar semangat dan ucapan terima kasih kepada barisan hadapan yang berjuang segala pengorbanan buat rakyat dan negara ketika krisis pandemik Covid-19 ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 8:48 PM