AEPUL Dramaband. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
AEPUL Dramaband. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Norhayati Nordin


SELEPAS lagu terbaru Kayangan mula popular kira-kira lima minggu lalu, kini Drama Band tampil dengan satu lagi lagu baru bergenre balada berjudul Bertahanlah.

Namum, dalam muzik video rasmi lagu itu yang dimuat naik di YouTube sejak tiga hari lalu, tidak dimaklumkan pula nama Aepul dan Drama Band sebagai penyanyi lagu itu.

Aepul ketika dihubungi berkata, sukar untuk dia menjelaskan situasi sebenar mengenai status lagu itu tetapi berterima kasih kepada peminat yang sudah mendengarnya.

"Anggap sajalah lagu itu projek khas saya untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada pejuang barisan hadapan negara yang bertungkus-lumus berusaha menangani wabak Covid-19.

"Sama ada nama Drama Band diletakkan atau tidak, bukan isu kerana mesej utama lagu itu dihasilkan untuk membakar semangat pejuang barisan hadapan supaya kekal bertahan kerana kita semua sentiasa ada di belakang mereka memberi sokongan padu," katanya kepada Harian Metro.

Aepul berkata, dia kini gembira melihat maklum balas diterima lagu itu walaupun melodi ditampilkan lebih menjurus kepada balada dan berentak perlahan.

Lagu Bertahanlah adalah hasil ciptaan bersama Argo dan AG Coco manakala lirik puitisnya pula ditulis Argo, Daus SRK dan @Sharul Kamal.

Menurut Aepul, apa yang diharapkan adalah sokongan berterusan daripada pendengar terhadap karya lagu dihasilkan. Apatah lagi, kisah penceritaan lagu itu berkisar pada isu semasa yang berlaku ketika ini.

Di saluran YouTube Aepul, lagu Bertahanlah baru ditonton sekitar 13,000 kali sejak dimuat naik pada 10 Mei lalu dengan lebih 130 komen.

Rata-rata perkongsian komen dalam kalangan pelayar YouTube memuji melodi dan lirik lagu Bertahanlah yang sedap didengar dan berpuas hati karya itu.

 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 5:21 PM