Oleh Ridzuan Abdul Rahman.

[email protected].

.

Menjalani hukuman di Penjara Kluang, Johor sejak April 2011 akibat kesalahan dadah bukan menjadi titik noktah buat Ameng Spring meninggalkan dunia nyanyian yang sudah menjadi darah dagingnya.

Meskipun langkahnya terbatas, penyanyi yang popular menerusi lagu Sampai Hati, Bourgenvilla dan Romantis ini tetap aktif menyertai program berbentuk kesenian dan keagamaan anjuran Jabatan Penjara Malaysia.

Ameng pernah menubuhkan kumpulan nasyid Voices Of Prison yang berjaya merangkul tempat pertama dalam Pertandingan Nasyid Keenam Peringkat Penghuni Jabatan Penjara Malaysia 2012 yang berlangsung di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Ameng turut ditampilkan dalam pelbagai acara seperti Program Muhibbah Muzikal Merdeka dan Pertandingan Lagu Patriotik di Penjara Sungai Udang, Melaka pada hujung September tahun lalu.

Terbaru, Ameng yang baru menyiapkan album solo yang menjalani rakaman di Penjara Kluang bakal menghiburkan peminat menerusi acara Program Sayembara Genta Puisi 2014 yang berlangsung di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur jam 7.45 malam ini.

Menerusi program ini, Ameng bersama bekas pemain gitar kumpulan SYJ, Zamri Shafie akan tampil mengadakan persembahan khas bagi menghiburkan tetamu yang hadir.

Program anjuran Jabatan Penjara Malaysia ini mula diperkenalkan pada 2010 dengan tujuan memupuk semangat patriotik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan penghuni penjara melalui penghayatan seni dan sastera.

Ia dilaksanakan bersempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dan diangkat sebagai acara tahunan Jabatan Penjara Malaysia.

Mulai 2013, Program Genta Puisi dianjurkan bersama dengan DBP dengan mengetengahkan genre puisi iaitu penciptaan lagu puisi dan penulisan sajak.

Bengkel ini diadakan tahun lalu di bawah bimbingan Sasterawan Bahasa, Prof Madya Dr Lim Swee Tin. Tahun ini tema yang dipilih ialah 'Menyirat Nilai Kebebasan' dan buat pertama kalinya, genre puisi tradisional turut diperkenalkan di samping deklamasi sajak.

Kerjasama antara Jabatan Penjara Malaysia dengan DBP dalam program ini mampu memberi impak yang besar ke atas usaha pemasyarakatan dan pembudayaan bahasa dan sastera untuk segenap lapisan masyarakat, tidak mengira latar belakang mereka.

Orang ramai dan peminat sastera dijemput hadir memeriahkan program yang diadakan secara percuma ini. Memandangkan tempat duduk yang terhad, mereka perlu membuat pengesahan kehadiran dengan menghubu-ngi Zeti Aktar di talian 03-21479208 atau Zabidah Yahya di talian 03-21479207.

Pengesahan melalui e-mel boleh dibuat menerusi emel [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:00 AM