KHAI dan Nana membolot kategori utama Top Top MeleTOP Lelaki dan Wanita.
KHAI dan Nana membolot kategori utama Top Top MeleTOP Lelaki dan Wanita.
Georgie Joseph


ANUGERAH MeleTOP Era 2019 (AME 2019) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam kelmarin menjadi malam terindah buat Khai Bahar dan Siti Nordiana apabila masing-masing membolot kategori utama Top Top MeleTOP Lelaki dan Wanita.

Lebih membanggakan, Khai dapat mempertahankan gelaran itu buat kali kedua berturut-turut selain menang kategori Penyanyi MeleTOP menewaskan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Ini permainan antara kelab peminat setiap artis. Dapat mengalahkan nama-nama besar bukan bermakna saya lebih bagus daripada mereka. Bagaimanapun, undian peminat saya membuktikan mereka masih memberi kepercayaan kepada saya. Syukur tidak terhingga kepada kelab peminat saya dan kemenangan ini sebenarnya untuk mereka,” katanya.

Bagi Siti Nordiana atau Nana pula, dia tidak menyangka dalam beberapa kategori pencalonannya, dia membawa pulang trofi Hos MeleTOP.

Dia bersyukur apabila peminat berhabisan mengundinya dan usaha mereka itu perlu dihargainya.

“Saya rasa sangat kerdil apabila menang trofi itu dan menewaskan nama-nama hos popular yang lain. Ini kerana pengacaraan bukan bidang utama saya kerana saya seorang penyanyi.

“Pengundilah sebenarnya bertungkus-lumus memastikan perkara ini jadi kenyataan. Mungkin semua itu disebabkan saya pun bekerja keras juga meminta undian mereka di media sosial,” katanya.

Kategori Penyampai Radio MeleTOP pula dimenangi Johan, manakala Program Radio MeleTOP menobatkan Johara Pagi Era buat kali keenam sejak AME dianjurkan.

HAEL pentingkan kesempurnaan enggan terburu-buru jaya konsert berskala besar. FOTO: Zunnur Al Shafiq
HAEL pentingkan kesempurnaan enggan terburu-buru jaya konsert berskala besar. FOTO: Zunnur Al Shafiq

Pelakon drama Mr Grey, Eyra Hazali memenangi Artis Baharu MeleTOP menewaskan calon-calon hebat termasuklah Andi Bernadee, Sarah Suhairi dan Shafiq Farhain.

Berkongsi kegembiraan itu, Eyra mengakui kelab peminatnya memang sangat kuat tapi pada sama enggan menidakkan kekuatan peminat artis lain.

“Antara semua calon itu, saya rasa Sarah Suhairi paling berpotensi besar untuk menang juga. Bagaimanapun, saya gembira rezeki berpihak pada saya.

“Saya ada niat untuk mengadakan sesi berbuka puasa dengan anak-anak yatim pada bulan Ramadan nanti. Saya rasa kemenangan ini satu hikmah untuk merealisasikan hajat itu,” katanya.

Tidak ketinggalan, trofi Program MeleTOP menjadi milik Sepahtu Reunion Live 2018 dan Artis Lawak MeleTOP juga dimenangi Jep Sepahtu.

Haqiem Rusli pula menang trofi Lagu MeleTOP menerusi single duetnya bersama Aman Ra iaitu Jatuh Bangun. Kategori Grup/Duo MeleTOP pula dimenangi gandingan Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah.

HOS AME 2019 (dari kiri) Jihan, Nabil dan (kanan) Neelofa.
HOS AME 2019 (dari kiri) Jihan, Nabil dan (kanan) Neelofa.

Pelakon Syafiq Kyle antara pemenang trofi terbanyak apabila membolot kategori Pelakon MeleTOP, Bintang Filem MeleTOP, dan Fesyen MeleTOP.

Selain itu, AME 2019 turut meraikan legenda lagu irama Malaysia, Datuk M Daud Kilau sebagai pemenang kategori Anugerah Khas MeleTOP.

Bagi setiap kategori, pemenang menerima wang tunai RM5,000 berserta trofi dan kategori utama iaitu Top Top MeleTOP menerima hadiah RM10,000 berserta trofi.

PERSEMBAHAN dari Akim dan The Majistret. FOTO: Nurul Shafina Jemenon
PERSEMBAHAN dari Akim dan The Majistret. FOTO: Nurul Shafina Jemenon

Malam AME 2019 yang dihoskan Nabil Ahmad, Neelofa, dan Jihan Muse itu turut diserikan dengan persembahan daripada penyanyi senior seperti Pop Shuvit, Ella, Misha Omar, Siti Nordiana dan Exists.

Manakala, persembahan daripada penyanyi generasi baru iaitu Hael Husaini, Aman Ra, Floor 88, Baby Shima, Andi Bernadee, Santesh, Shafiq Farhain, Sufian Suhaimi, Akim & The Majistret, Zizi Kirana, Khai Bahar, Ismail Izzani dan Haqiem Rusli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 5:00 AM