Janna dan Ajak dipilih sebagai hos Melodi menggantikan Awal dan AG.
Janna dan Ajak dipilih sebagai hos Melodi menggantikan Awal dan AG.
Ardini Sophia Sina


PERSOALAN siapakah hos baharu Melodi, kini terjawab apabila Janna Nick dan Ajak Shiro menggantikan Awal Ashaari dan AG.

Ia diumumkan Pengurus Besar, Kumpulan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Zurina Othman petang tadi.

Kata Zurina, pihaknya yakin pemilihan Janna dan Ajak sebagai hos Melodi mampu menarik lebih ramai penonton untuk menyaksikan program yang bersiaran selama 24 tahun.

“Kami yakin Janna Nick yang namanya makin melonjak naik mampu menarik lebih ramai penonton muda.

“Ajak pula mempunyai potensi dalam bidang pengacaraan dan kami tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini untuk bekerjasama dengan selebriti versatil ini,” katanya kepada Harian Metro.

Zurina juga memaklumkan program hiburan popular di TV3 itu juga akan memperkenalkan tiga segmen baharu untuk mengekalkan identiti sebagai program segar dan hip.

Katanya, Melodi musim ini juga akan bersiaran selama satu jam setengah menampilkan beberapa segmen baharu membincangkan segala isu tular dan rancak dibualkan orang ramai.

“Kami berharap program infotainment popular ini akan menceriakan lagi hari Ahad penonton dengan membekalkan isu-isu sensasi meliputi artis dalam dan luar negara.

“Tiga segmen baharu yang bakal diperkenalkan ialah Cerita Sini, Habis Sini, Kecoh Netizen dan Melodi Prihatin,” katanya.

Terdahulu, Awal dan AG atau Muhammad Azmir Selamat mengumumkan pengunduran mereka menyebabkan timbul persoalan di kalangan penonton mengenai hos baharu program sensasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 8:06 PM