Nurshafika Suhaimi

SALURAN TV3 Malaysia akan menyajikan program baharu yang lebih segar dan ceria menerusi slot pagi bermula 1 Ogos ini.

Menggunakan tagline 'Hidupkan Pagi', beberapa perubahan dilakukan bagi mengukuhkan lagi kandungan program yang pastinya menceriakan hari anda.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Nini Yusof berkata, strategi penjadualan baharu akan bermula pada 1 Ogos ini dengan mengukuhkan slot waktu pagi untuk memberi kepuasan kepada penonton setia TV3.

"Menerusi TV3, ada beberapa program yang disingkatkan waktu siaran supaya ia menjadi lebih padat di samping penampilan selebriti berbakat besar seperti Nabila Huda, Sissy Imann dan Amyra Rosli sebagai hos program TV3," katanya.

Mulakan rutin harian anda dengan program ilmiah, Tanyalah Ustaz yang disiarkan pada setiap hari, jam 6.30 pagi.

Seterusnya, berita terkini dalam Buletin Pagi yang bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi dan bersiaran pada hari Sabtu dan Ahad, jam 9.30 pagi.

Manakala, Slot Cempaka yang menyiarkan seleksi drama bersiri popular akan menemui penonton setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi.

Drama bersiri pertama yang mengisi slot Cempaka ialah 'Lelakimu Yang Dulu' lakonan Sharnaaz Ahmad, Nelydia Senrose, Redza Rosli dan Reen Rahim.

Perubahan waktu siaran

Tidak ketinggalan, program bual bicara popular iaitu Malaysia Hari Ini dan Borak Kopitiam terus komited berkongsi info menarik, isu semasa serta topik berkait rapat dengan kepentingan masyarakat.

Sementara itu, Malaysia Hari Ini akan bertukar waktu siaran setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi mulai 2 Ogos.

Manakala, bagi program Borak Kopitiam pula akan bersiaran setiap hari Sabtu dan Ahad dari jam 8 pagi hingga 9.30 pagi.

Bagi program Muzik Muzik pula akan ditukar waktu siaran pada hari Ahad, jam 11.30 pagi yang dikendalikan oleh Alif Satar dan Sissy Imann.

Tentunya keletah kedua-dua hos ini menceriakan pagi anda dan sama-sama kita mengikuti Carta Mingguan Muzik Muzik untuk mengetahui kedudukan terkini lagu yang dicalonkan.

Antara yang paling ditunggu penonton setia TV3 pastilah program sensasi Melodi yang akan menampilkan Nabila Huda selaku hos terbaharu bermula Ogos ini dengan waktu siaran baharu iaitu jam 12.30 tengah hari selama satu jam.

Beliau mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam bidang seni dan pernah menyandang Pelakon Wanita Terbaik di beberapa anugerah berprestij.

Akhir sekali, Amyra Rosli, pelakon wanita yang popular dengan drama bersiri Nur, Sang Pewaris dan Sabarlah Duhai Hati akan menggalas tugas sebagai hos program Nona mulai 8 Ogos 2021 pada jam 2 petang.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi TV3 Malaysia di Facebook, Instagram dan Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 9:12 AM