JOHAN pada sesi majlis pelancaran buku hasil tulisannya di Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.
JOHAN pada sesi majlis pelancaran buku hasil tulisannya di Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Kisah suka duka mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga bekas Pengerusi Media Prima Berhad Tan Sri Johan Jaaffar selama 50 tahun dalam dunia seni tanah air dibukukan dalam autobiografi khas, Jejak Seni Johan Jaaffar.

Naskhah karya Johan sendiri itu merakamkan kisah pembabitan beliau dalam bidang seni khususnya sebagai aktivis.

Buku berkenaan turut memaparkan pengalaman pahit manis tokoh wartawan veteran yang juga figura korporat terkenal itu daripada bermula sebagai penarik tirai bangsawan hingga menjadi pengerusi syarikat media terbesar negara.

Jejak Seni Johan Jaaffar dilancarkan secara rasmi di DBP, semalam oleh Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Johan berkata, beliau sewaktu zaman kanak-kanak sudah didedahkan dengan dunia persembahan bangsawan lantaran kumpulan opera terkenal ketika itu, Bintang Timur Opera membuat pertunjukan di kampungnya di Sungai Balang Besar, Muar, Johor.

“Minat terhadap bidang seni semakin bercambah apabila menginjak dewasa ketika menuntut di Universiti Malaya, saya aktif dalam banyak pementasan teater bersama Kumpulan Anak Alam dan didedahkan dengan banyak naskhah terkenal daripada Sasterawan Negara.

“Ia tidak berlegar di pentas bangsawan saja, minat itu berterusan ke pentas sandiwara, teater moden, persembahan jalanan hingga ke dunia lakonan tanah air,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran buku berkenaan.

Sementara itu, Rais dalam ucapan perasmiannya berkata, setiap anak Melayu perlu membangkitkan kembali keagungan budaya tradisi masyarakat termasuk impak bangsawan.

“Tidak ramai yang mengangkat budaya lama masyarakat Melayu pada zaman sekarang dan buku tulisan Johan ini mengingatkan kita kembali siapa kita sebenarnya.

“Golongan Sasterawan Negara juga perlu memainkan peranan dalam membantu membawa pembaharuan untuk kepentingan bersama.

“Selain itu, DBP juga boleh jalinkan kerjasama dengan Indonesia untuk sama-sama meningkatkan bidang bahasa dan budaya di rantau ini,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar, mantan Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, mantan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Andika Ujang dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Buku setebal 343 halaman itu mempunyai 76 bab dan diterbitkan oleh DBP dengan kerjasama Balang Rimbun Sdn Bhd.

Ia boleh didapati dalam dua bentuk iaitu versi kulit lembut yang berharga RM45 manakala versi kulit keras boleh dimiliki pada harga RM55.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 6:19 AM