MOHD Khusairi memasang plak Layar Bintang abadikan nama Jins sambil diperhatikan isteri Allahyarham Puan Sri Khalijah Hamzah.
MOHD Khusairi memasang plak Layar Bintang abadikan nama Jins sambil diperhatikan isteri Allahyarham Puan Sri Khalijah Hamzah.
ADAM menerima cenderamata daripada Mohd Khusairi.
ADAM menerima cenderamata daripada Mohd Khusairi.
Syanty Octavia Amry


Bagi menghargai jasanya ketika hidup sebagai anak seni, satu majlis diadakan yang diberi nama Imbas Kembali dan Layar Bintang Allahyarham Tan Sri Dr Jins Shamsuddin.

Pastinya, semua tahu banyak jasa ditaburkan bintang legenda ini sehingga akhir hayatnya pada 1 Mac lalu.

Tidak hanya mengenang kembali zaman kegemilangannya sebagai anak seni, bual bicara mengimbas pembabitannya turut diadakan pada waktu yang sama.

Bual bicara itu disertai penerbit dan pengarah filem Datuk Yusof Haslam, Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Asiah Sarji dan Pengarang Rencana Metro Ahad Adam Salleh.

Masing-masing berkongsi pengalaman ketika bekerjasama dan berdepan Allahyarham semasa hayatnya.

Yusof berkata, apa yang dimilikinya sekarang ini juga adalah kerana menjadikan Jins sebagai rujukan untuk menjadi seorang anak seni yang mampu bertahan lama.

“Selain menjadikan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sebagai rujukan untuk berjaya sebagai anak seni, Jins juga menjadi inspirasi saya.

“Saya melihat kejayaan demi kejayaan beliau adalah atas usaha dan kerja kerasnya yang tidak mengenal erti putus asa,” katanya.

Bagi Adam pula, pengalaman menemu bual Allahyarham memberi banyak kenangan buatnya. Ini kerana tidak semua wartawan boleh mendekatinya.

“Allahyarham seorang yang sangat mementingkan disiplin, malah beliau tidak suka jika jurugambar mengambil gambarnya dalam keadaan tidak bersedia.

“Jika hendak menemubualnya, wartawan perlu bersedia dan membuat kajian terlebih dulu. Soalan juga perlulah membina minda,” katanya.

Pada majlis itu juga, nama Jins Shamsuddin diabadikan di Layar Bintang yang terletak di FINAS, Hulu Klang.

Selain nama Jins, turut terabadi nama seniman dan seniwati di situ ialah P Ramlee, Datuk S Roomai Nor, Omar Rojik, Nordin Ahmad, M Amin, AR Tompel, Datin Saadiah, Roseyatimah dan Datuk Ahmad Mahmud.

Sementara itu, Pengerusi FINAS Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, program diadakan sebagai pembuka acara gilang-gemilang Festival Filem Malaysia (FFM) ke-29 yang akan berlangsung Sabtu ini.

“Pemilihan Jins disebabkan pencapaian peribadi beliau sebagai pengarah muda berbakat dengan pembikinan filem yang melawan arus konvensional dengan penceritaan dan pembikinan yang baik.

“Selain itu, beliau menjadi anak seni pertama yang bergelar senator di Dewan Negara pada 2004 hingga 2007.

“Saya yakin pemilihan beliau adalah tepat untuk program Imbas Kembali dan Layar Bintang kali ini,” katanya.

Khusairi berkata, FINAS juga dalam perbincangan untuk mengadakan program berkenaan sebagai acara tahunan disebabkan ramai lagi bintang legenda yang layak diberikan penghargaan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 12:58 AM