Dayana menanti untuk menjalani pembedahan. FOTO FB
Dayana menanti untuk menjalani pembedahan. FOTO FB
Norhayati Nordin


PELAKON Dayana Roza, 26, dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Johor Bahru bagi menjalani pembedahan membuang apendiks yang baru dikesan dialami, hari ini.

Dayana berada di Johor Bahru sejak 18 Julai lalu bagi menyiapkan penggambaran drama Seputih Cinta Rangbulan sebanyak 50 episod arahan MP Roslin dan terbitan Global Station Sdn Bhd.

Dayana atau Nur Dayana Kamsun Baharin ketika dihubungi memberitahu dia tidak menyangka sakit perut dialaminya ketika bangun tidur pagi tadi disebabkan masalah apendiks dan bukan gastrik.

"Saya ingatkan hanya sakit perut biasa dan mungkin gastrik. Malah, saya sangat berharap ia bukan apendiks. Ini kerana, saya kalau boleh tidak mahulah terbabit dengan sebarang pembedahan.

"Apatah lagi sebagai pelakon utama drama Seputih Cinta Rangbulan bersama Fezrul Khan, saya masih ada beberapa babak yang belum diselesaikan," katanya.

Mengakui biarpun penerbit, pengarah dan pihak produksi memahami masalah kesihatan yang dialaminya secara tiba-tiba itu, Dayana akur dengan ujian yang menimpa dirinya.

Menurut Dayana, dia dijangka akan mendapat cuti sakit selama satu minggu untuk pulih sebelum kembali semula ke lokasi penggambaran drama Seputih Cinta Rangbulan itu yang dijangka tamat penggambaran pada Oktober nanti.

Ujarnya, apapun dia sangat berterima kasih kepada kakak Fezrul iaitu Nana kerana banyak membantunya termasuk menghantar dia mendapatkan rawatan di klinik hingga ke hospital.

"Terus-terang, saya berdebar menunggu masa untuk ditolak masuk ke bilik pembedahan bagi membuang apendiks ini. Maklumlah, kali pertama kena bedah di perut.

"Ditambah pula, ibu saya ada meminta supaya buat pembedahan di hospital di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, doktor di Johor ini tidak membenarkan atas faktor keselamatan nyawa.

"Takut nanti bila perjalanan jauh, apendiks itu akan pecah di dalam perut dan boleh membahayakan nyawa," katanya yang berjanji tidak mahu makan makanan pedas lagi.

Selain aktif berlakon dan baru muncul dalam filem Minah Motor di pawagam pada Aidilfitri lalu, Dayana juga mengacarakan program Top 5 Makan di saluran Hypp TV.

Dayana yang memulakan karier lakonannya selepas membintangi program Anak Wayang pada 2009 mula dikenali menerusi drama Asam Pedas Untuk Dia di TV3 bersama Shukri Yahaya pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 9:45 PM