Wakil syarikat rakaman MVM Production dan Rusa Music, Rumhadi Rumnan dan Mr Pua bersama Harry Khalifah melawat Saleem di Pusat Pakar UKM Cheras. FOTO FB Harry Khalifah.
Wakil syarikat rakaman MVM Production dan Rusa Music, Rumhadi Rumnan dan Mr Pua bersama Harry Khalifah melawat Saleem di Pusat Pakar UKM Cheras. FOTO FB Harry Khalifah.
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI kumpulan Iklim, Saleem dimasukkan ke Pusat Pakar UKM, Cheras semalam akibat demam panas sejak seminggu lalu.

Isterinya, Juriah @ Julia Bachok berkata, Saleem, 55, atau nama sebenarnya A M Salim Abdul Majeed dibawa ke hospital berkenaan selepas mengalami demam panas dan berada dalam keadaan lemah.

"Abang Saleem kerap mengalami demam panas sejak kebelakangan ini. Buat masa ini punca sebenar penyakitnya belum dikenal pasti.

"Dia juga mengalami bengkak di bahagian testis dan sepatutnya menjalani pembedahan esok. Namun ia bergantung pada tahap kesihatannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Julia, keadaan kesihatan Saleem masih baik ketika menyambut Aidilfitri di Benut, Pontian minggu lalu.

Bagaimanapun, dia mula mengalami demam panas selepas menjayakan persembahan di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada hari raya ketiga lalu.

"Abang Saleem mengadu terlalu penat dan saya segera membawanya ke Pusat Pakar UKM untuk pemeriksaan.

"Demamnya masih kuat manakala jantungnya juga lemah. Doktor memberi bantuan oksigen bagi membantu pernafasannya. Sekiranya keadaan tidak berubah pembedahan akan ditangguhkan," katanya.

Julia berkata, melihatkan keadaan Saleem sekarang, dia terpaksa menimbang untuk menolak beberapa tawaran persembahan yang diterima.

"Sepatutnya dia akan membuat persembahan di Terengganu pada masa terdekat ini, tetapi saya kenalah tolak buat sementara waktu.

"Saya berterima kasih kepada Harry Khalifah dan Ameng Spring yang prihatin dengan kami serta syarikat rakaman Rusa Music yang menguruskan kemasukan abang Saleem ke sini. Saya minta semua pihak mendoakan agar kesihatannya kembali pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 6:58 PM