CRUISE bakal kembali dengan watak sebagai Maverick.
CRUISE bakal kembali dengan watak sebagai Maverick.
CRUISE ketika dalam filem Top Gun pada 1986.
CRUISE ketika dalam filem Top Gun pada 1986.
Susunan Michelle Gun


Hanya selepas 31 tahun, produksi filem laris Top Gun mengambil keputusan meneruskan pembikinan sekuel kedua dengan mengekalkan pelakon tersohor Tom Cruise sebagai hero.

Sebelum ini, sekuel Top Gun hanyalah khabar angin namun disahkan sendiri oleh pelakon tampan berusia 54 tahun itu dalam program bual bicara televisyen Australia, Sunrise, Rabu lalu.

Cruise yang membawa watak juruterbang tentera bernama Maverick dalam filem itu berkata, penggambaran Top Gun 2 dijangka bermula tahun depan.

“Ya, sekuel filem itu memang ada. Ia adalah benar. Anda menjadi orang pertama untuk mengetahui perkara ini,” katanya.

Bagaimanapun, Cruise tidak mendedahkan sama ada barisan pelakon utama Top Gun seperti Val Kilmer dan Kelly McGillis akan kembali untuk sekuel itu.

Khabar angin sekuel filem itu mula tersebar luas selepas produser Jerry Bruckheimer berkongsi gambar dia bersama Cruise dengan kapsyen mengenai Top Gun 2 di Twitter, Januari tahun lalu.

“Baru saja meluangkan waktu hujung minggu di New Orleans untuk berjumpa sahabat lama, Tom Cruise dan kami berbincang mengenai Top Gun 2,” tulisnya.

Top Gun memenangi beberapa anugerah berprestij bagi kategori runut bunyi terbaik menerusi lagu hit Take My Breath Away nyanyian Berlin.

Kejayaan besar filem itu turut menaikkan nama Cruise di seluruh dunia dan terus mengekalkan kedudukannya sebagai bintang hebat pada hari ini.

Antara babak kegemaraan penonton adalah aksi hebat Marverick mengendalikan pesawat merentas Lautan Hindi.

Turut membintangi filem itu adalah Tim Robbins, Meg Ryan dan Tom Skerrit.

Pada 2015, Kongres Perpustakaan Amerika Syarikat memilih Top Gun untuk senarai Pendaftaran Filem Nasional kerana mendapati filem itu mengandungi nilai budaya dan sejarah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 3:26 AM