ANTARA babak bakal disaksikan dalam American Made.
ANTARA babak bakal disaksikan dalam American Made.
CRUISE melompat ke bangunan di hadapannya sebelum buku lali kaki kanan patah.
CRUISE melompat ke bangunan di hadapannya sebelum buku lali kaki kanan patah.
DIKENALI sebagai pelakon lebih selesa buat aksi lasak sendiri.
DIKENALI sebagai pelakon lebih selesa buat aksi lasak sendiri.
Michelle Gun


Tahun ini waktu sibuk buat bintang Hollywood, Tom Cruise kerana mempromosi dua filem lakonannya iaitu The Mummy dan American Made.

Filem The Mummy sudah ditayangkan pada Mei lalu manakala American Made akan menemui penonton 31 Ogos ini.

Pada masa sama, bintang berusia 55 tahun ini sibuk dengan penggambaran filem Mission Impossible 6 (MI6) yang bakal ditayangkan Julai tahun depan.

Malang tidak berbau, pelakon kacak ini dilaporkan patah buku lali kaki kanan ketika membuat aksi lasak sewaktu penggambaran MI6 di London baru-baru ini.

Berikutan itu, produksi Paramount Pictures terpaksa menghentikan penggambaran untuk seketika sehingga kaki Cruise sembuh.

Menurut portal The Guardian, pada hari kejadian, Cruise memakai tali keselamatan dan kakinya cedera sewaktu membuat lompatan antara dua bangunan.

Difahamkan pelakon itu terlanggar bahagian tepi bangunan kedua dan tidak lama selepas itu, dia kelihatan berjalan tempang serta keadaannya kelihatan agak serius.

Kemalangan itu turut disahkan Paramount Pictures dan produksi berkenaan yakin penangguhan penggambaran tidak akan menjejaskan tarikh tayangan.

Bagaimanapun, produksi terbabit tidak mendedahkan tempoh penangguhan walaupun penggambaran dijadualkan tamat pada Oktober ini.

Portal Variety meramalkan penangguhan itu selama tiga bulan, tambahan pula tiga pelakon MI6 iaitu Simon Pegg, Henry Cavill dan Rebecca Ferguson akan terbabit dalam projek lain hujung tahun ini.

Malah, selepas MI6, Cruise sudah dijadualkan untuk penggambaran sekuel kepada filem Top Gun (1986) apabila dia kembali membawa watak juruterbang Maverick Mitchell.

Dalam satu temu bual, pengarah dan penulis skrip MI6, Christopher McQuarrie berkata, Cruise tetap bersemangat walaupun keadaanya kurang mengizinkan.

“Sebenarnya aksi melompat dari satu bangunan ke bangunan lain tidak sesuai untuk Cruise. Dia sepatutnya melanggar bahagian tepi bangunan.

“Namun ketika melakukan percubaan keempat, dia terlanggar bangunan itu dari sudut berlainan menyebabkan buku lali kaki kanan dia patah. Ekspresi mukanya sudah menunjukkan dia menyedari buku lalinya patah,” katanya.

Namun, McQuarrie yakin Cruise tidak akan serik kerana mengetahui lelaki itu lebih selesa membuat aksi lasak sendiri.

“Tahap fizikalnya sekarang jauh lebih baik daripada ketika dia berlakon dalam filem arahan saya 10 tahun lalu,” ujarnya.

Menolak rawatan kaki

Patah tulang adalah kecederaan serius yang tidak boleh dipandang ringan, namun Cruise dilaporkan enggan mendapatkan rawatan untuk memulihkan kakinya.

Sebaliknya, sumber memberitahu pelakon berkenaan mempercayai agama Saintologi dapat menyembuhkan kakinya biarpun kecederaan serius dan memerlukan pembedahan.

“Pihak gereja Saintologi mempercayai kemalangan dan penyakit datang apabila wujudnya sumber berpotensi mencetuskan masalah dalam kehidupan penganutnya.

“Selalunya, musibah melanda apabila ada orang meninggalkan gereja atau sudah hilang kepercayaan terhadap agama ini mempunyai kaitan dengan penganut.

“Dalam kes Cruise, dia dikelilingi beberapa individu seperti ini iaitu bekas isteri Nicole Kidman serta Katie Holmes yang kedua-duanya adalah penganut Katolik dan mereka meninggalkan Saintologi selepas bercerai,” katanya.

Holmes dan anak kandung Cruise, Suri kini menetap di New York, Amerika Syarikat manakala pelakon itu dikatakan sudah tiga tahun tidak bertemu anaknya.

Dituduh memakai punggung palsu

Dalam perkembangan terbaru, pelakon itu kini menjadi bahan jenaka netizen selepas seorang pengguna Twitter mendakwa Cruise memakai pengalas punggung ketika beraksi dalam filem Valkyrie pada 2008.

Isnin lalu, pengguna terbabit memuat naik gambar memaparkan punggung Cruise dari filem itu di Twitter. Dia membuat spekulasi pelakon itu memakai punggung palsu.

Susulan itu, netizen mula membuat pelbagai spekulasi antaranya berpendapat punggung Cruise mungkin menggunakan kesan khas, juruaksi pelakon terbabit dan sudut penggambaran yang menampakkan anggota itu besar.

Malah, McQuarrie turut memberi reaksi terhadap isu terbabit, namun membiarkan netizen kecewa kerana pengarah itu enggan berkongsi sebarang maklumat.

“Status itu sudah mendapat 12,000 perkongsian semula dan jumlahnya terus meningkat. Kenapa saya perlu membuat penjelasan terhadap perkara ini?,” katanya.

Bagaimanapun, pengarah itu bertindak memadamkan status terbabit.

Bakal beraksi dalam American Made

Beralih kepada American Made pula, karya biografi jenayah ini menyaksikan kerjasama semula pengarah Doug Liman dan Cruise selepas filem fiksyen sains Edge Of Tomorrow tiga tahun lalu.

Ia berdasarkan kisah benar kehidupan bekas juruterbang syarikat penerbangan Trans World, Barry Seal yang mengambil upah sebagai penyeludup dadah pada 1980-an.

Kemudian, Seal direkrut Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat sebagai perisik untuk membantu menumpaskan sindiket dadah.

Dalam American Made, Seal lakonan Cruise dipaparkan meminati kerjayanya dan juga lelaki yang bertanggungjawab terhadap keluarga.

Pada masa sama, dia mencari pendapatan sampingan dengan menyeludup cerut dari Cuba ke Amerika Syarikat menggunakan bagasi kecil.

Akhirnya, kegiatan lelaki itu dibongkar oleh pegawai CIA, Month Schafer yang memujuk Seal bekerja dengan kerajaan untuk mengambil gambar kawasan komunis di sekitar Amerika Tengah.

Ketika melaksanakan satu misi, Seal bertemu anggota sindiket kokain besar, Ochoa Vasquez dan Pablo Escobar.

Menyedari Seal seorang yang tamak, mereka mengambil kesempatan mengupahnya untuk menyeludup dadah ke Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kerja haram Seal dihidu abang iparnya, JB yang mengugut untuk mendedahkan kegiatannya dan membawa lelaki itu ke muka pengadilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 6:26 AM