PENGUNJUNG mendapatkan maklumat di pameran hartanah MyRumah 2019 di Komtar JBCC. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PENGUNJUNG mendapatkan maklumat di pameran hartanah MyRumah 2019 di Komtar JBCC. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Nurul Amanina Suhaini


ORANG ramai di negeri Johor masih berpeluang memenangi hadiah utama pada hari terakhir pameran hartanah MyRumah 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Komtar JBCC, Johor Bahru.

Bagi pengunjung yang menempah belian rumah menerusi pembayaran deposit daripada pemaju yang menyertai pameran MyRumah 2019, mereka berpeluang memenangi hadiah utama iaitu Nissan Almera selain nama pemenang akan diumumkan selepas penganjuran pameran MyRumah 2019 di seluruh Malaysia tamat.

Pelbagai aktiviti, hadiah cabutan bertuah dan tawaran menarik turut disediakan pempamer dan pemaju kepada pengunjung mahupun individu yang mencari rumah pertama.

Sepanjang pameran bermula 10 pagi hingga 10 malam, hari ini, lima sesi ceramah akan diadakan membariskan penceramah jemputan termasuk topik menarik mengenai hartanah.

Pada 3.10 petang, sesi ceramah menarik disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRP Advisory Services, Franciss Chin Tse Piau, dengan topik bertajuk, ‘Bagaimana anda boleh mendapat penjimatan faedah pinjaman perumahan sehingga 80 peratus menerusi program Mortgage Reduction Planning (MRP).’

Selain itu, sesi ceramah diteruskan dengan Penolong Jurutera, Ahmad Mohd Amin dengan topik bertajuk, ‘Produk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan’ seterusnya diakhiri dengan penceramah iaitu Pengurus Cawangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Azli Abdul Aziz dengan tajuk ‘Uruskan kewangan anda dengan efisen’.

MyRumah 2019 di Johor menawarkan lebih 3,397 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.2 bilion.

Siri ketiga pameran hartanah MyRumah Komtar JBCC itu yang berlangsung sejak kelmarin bermula jam 10 pagi hingga jam 10 malam disertai oleh lapan pemaju iaitu Bukit Pelali Properties Sdn Bhd, Dynasty View Sdn Bhd, GuocoLand (Malaysia) Berhad, Johor Land Berhad, KPKT serta Jabatan Perumahan Negara (JPN), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seri Alam Properties Sdn Bhd dan UDA Land (South) Sdn Bhd.

Ia juga turut disertai MBSB Bank Berhad, Lionmas Furnishers (M) Sdn Bhd, Oriental Food Industries Sdn Bhd, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful Ikhlas Bhd.

Terdahulu, siri pertama MyRumah dianjurkan di pusat beli-belah MyTown, Kuala Lumpur, pada Mac lalu dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sebelum diteruskan ke pusat beli belah AEON Bandaraya Melaka, bulan lalu.

Selepas Johor Bahru siri jelajah pameran hartanah MyRumah 2019 akan berlangsung di Ipoh dan Shah Alam, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 5:35 PM