Sejak pembukaan PETS ROOM, Roslan melihat permintaan rakyat Malaysia untuk mendalami ilmu tentang penjagaan haiwan peliharaan semakin meningkat. - FOTO Muizz Tahir
Sejak pembukaan PETS ROOM, Roslan melihat permintaan rakyat Malaysia untuk mendalami ilmu tentang penjagaan haiwan peliharaan semakin meningkat. - FOTO Muizz Tahir
Muhamad Shaifullah Tayep

PERNIAGAAN disabotaj sehingga terpaksa menutup kedai adalah antara cabaran yang dilalui pemilik kedai haiwan peliharaan, PETS ROOM.

Bercerita lanjut, Roslan Jamin hanya menyedari akan kejadian yang membabitkan ilmu hitam itu selepas rawatan yang diberikan kepada kucing-kucingnya yang sakit gagal, sebaliknya seekor demi seekor kucing kesayangannya mati secara tiba-tiba.

Selepas ribuan ringgit dihabiskan untuk rawatan, perniagaan terdahulu HOUSE OF CAT yang dibina bersama rakan kongsinya, Asyraf Khalib sekitar 2013 itu berakhir pada 2017.

"Kami hanya menyedari ada perkara yang tidak kena selepas kami dan pekerja pula masing-masing menghidap penyakit misteri.

"Ada antara kami mula memuntahkan barang pelik seperti rambut, kaca dan saya sendiri pernah seakan 'lumpuh' serta tidak dapat bergerak selama beberapa hari di rumah.

"Bermula dari situ kami mula mendapatkan rawatan alternatif perubatan Islam dan gangguan kejadian-kejadian pelik di kedai seperti bau bangkai, pintu terbuka tertutup sendiri dan muncul kelibat misteri yang menyeramkan mula terjadi," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Roslan berkata, dalam tempoh lima bulan, lebih 50 ekor kucing mati dalam keadaan tragis dan menyayat hati.

"Paling tidak boleh diterima akal, ada sesetengah pihak yang menuduh kami menipu dan meracun kucing sendiri sehingga mati hanya untuk mendapatkan publisiti.

"Kesan daripada kejadian itu, kami berdepan tekanan mental dan trauma yang sangat dahsyat," katanya.

Selepas kejadian itu, Roslan dan rakan kongsinya memilih untuk menutup perniagaan, berehat dan menghadirkan diri ke sesi kaunseling untuk memulihkan diri selama lebih dua tahun.

Kini, semangat mereka bangkit semula selepas berjaya menubuhkan PETS ROOM pada 2021.

PETS ROOM adalah kedai haiwan peliharaan yang menawarkan pelbagai servis dan produk untuk haiwan kesayangan.

Fokus utama perniagaan adalah untuk berkongsi minat dengan penghobi ikan hiasan serta pencinta kucing.

Roslan berkata, idea untuk menubuhkan PETS ROOM hadir selepas beliau dan rakan kongsinya banyak menghabiskan masa bermain dengan kucing dan ikan hiasan di rumah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dari situ tercetus idea untuk memulakan satu perniagaan baharu yang menggabungkan hobi berkaitan haiwan peliharaan dalam satu premis," katanya.

Penubuhan PETS ROOM berpegang kepada prinsip utama iaitu membina kepercayaan orang ramai terhadap pengusaha dan jenama terlebih dahulu.

Roslan berkata, beliau yakin pelanggan akan datang sendiri dan tidak perlu bersusah payah mencari mereka sekiranya kepercayaan dibina daripada mula.

"Bagi PETS ROOM, kebajikan haiwan peliharaan adalah yang paling utama, mereka selayaknya perlu diberi kasih sayang dan perhatian seperti keluarga sendiri.

"Kami yakin jika kami sekadar peniaga fikir untung jual produk, pelanggan beli dan bawa pulang, tidak lama selepas itu haiwan peliharaan mereka sakit atau mati, mereka pasti kecewa serta putus asa. Mereka akan pilih untuk berhenti membeli.

"Jadi, untuk jangka masa panjang kami yang rugi sebab hilang pelanggan tersebut buat selama-lamanya," katanya.

Tambahnya, PETS ROOM juga ditubuhkan bagi mengubah persepsi dan membantu serta mendidik pelanggan untuk memeliharan dan menjaga haiwan peliharaan dengan sebaiknya.

Beliau berkata, ramai orang mempunyai minat untuk cuba memelihara kucing atau ikan hiasan tetapi tidak berani berbuat demikian kerana bimbang haiwan yang dipelihara mati di penghujungnya.

"PETS ROOM mengetengahkan prinsip haiwan sebagai sebahagian dari keluarga dan kami komited untuk memberikan layanan dan mengajar pelanggan.

"Kami akan berkongsi ilmu yang jelas terlebih dahulu kepada pelanggan dan hanya menyarankan mereka membeli dari kami apabila mereka benar benar yakin dan bersedia.

"Ini kerana haiwan bukan sekadar hobi atau peralatan mainan," katanya.

Image

Roslan berkata, PETS ROOM menawarkan pelbagai servis seperti perapian dan dandanan kucing, penjagaan dan penginapan kucing serta ikan hiasan.

"Kami menyediakan ruang penginapan untuk kucing yang selesa dilengkapi penghawa dingin dan mematuhi standard serta piawaian ditetapkan Jabatan Veterinar.

"PETS ROOM juga mempunyai lebih 80 jenis ikan hiasan air tawar yang sesuai untuk pemula dan kami memfokuskan konsep minimalis yang bermaksud hanya menjual akuarium dan ikan hiasan bersaiz kecil yang sesuai untuk ruang rumah kecil seperti ruang tamu dan bilik tidur," katanya.

Ikuti akaun media sosial PETS ROOM di Facebook, TikTok dan Instagram.

Mahu memaparkan perniagaan anda di lebih 30 jenama? Media Prima memperkenalkan #MariLokal bagi membantu PKS meningkatkan perniagaan. Emel ke [email protected] untuk mengetahui lebih lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 6:16 PM