PELANGGAN gembira terima kucing dihantar Ikmal.
PELANGGAN gembira terima kucing dihantar Ikmal.
IKMAL memasukkan kucing dalam sangkar untuk penghantaran.
IKMAL memasukkan kucing dalam sangkar untuk penghantaran.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: "Saya pernah hantar seekor kucing berharga RM20,000 kepada pelanggan dari Kelantan ke Kuala Lumpur tahun lalu.

"Kucing baka British Short Hair ini adalah paling mahal daripada 1,300 kucing yang pernah saya hantar kepada pelanggan," kata Ikmal Syakri, 21.

Ikmal adalah pengusaha teksi haiwan peliharaan beroperasi di negeri berkenaan yang diusahakannya sejak Mei 2020.

Selain kucing, dia turut membuat penghantaran haiwan peliharaan lain seperti ular (saiz kecil), ikan perhiasan, hamster, arnab, kura-kura, burung dan ayam (serama, kampung serta selasih) ke seluruh Malaysia kecuali Sabah, Sarawak juga Johor.

Katanya, caj penghantaran kucing paling mahal berbanding haiwan lain kerana proses penjagaan haiwan itu rumit.

"Caj penghantaran bagi seekor kucing ke Kuala Lumpur ialah RM200. Paling jauh saya hantar kucing ialah ke Merlimau, Melaka dengan caj RM300," katanya.

Menurutnya, perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur kurang sembilan jam.

"Jika kucing membuang najis, saya perlu membersihkan sangkar dan membuang najisnya.

"Saya sangat menitikberatkan keselesaan haiwan yang hendak dihantar kepada pelanggan kerana jarak jauh dan mengambil masa lama," katanya.

Menurutnya, dia melakukan dua perjalanan penghantaran haiwan peliharaan dua kali seminggu sama ada menggunakan van atau kenderaan pacuan empat roda.

Setiap perjalanan, dia membawa antara lima hingga tujuh kucing.

"Pelanggan yang menggunakan perkhidmatan ini diberikan jaminan melalui perjanjian penghantaran kurang dalam tempoh 12 jam. Ini bagi meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan disediakan.

"Sebelum memulakan penghantaran,  saya memeriksa haiwan terbabit terutama kucing bagi memastikannya dalam keadaan sihat.

"Tujuannya untuk mengelakkan perkara tidak diingini terjadi terhadap haiwan itu semasa penghantaran," katanya.

Berkongsi inisiatif kreatifnya menjalankan perniagaan itu, Ikmal berkata, ia bermula apabila perkhidmatan penghantaran kucing secara kecil-kecilan yang dilakukan di sekitar Kelantan mendapat sambutan.

"Sebelum ini, saya suka beli kucing dan menjualnya, ia diiklankan melalui media sosial.  

"Ramai pelanggan dari luar Kelantan berminat hendak beli kucing. Sambutan menggalakkan mendorong saya menjalankan perkhidmatan teksi ini supaya penghantaran lebih meluas," katanya.

Menurutnya, perniagaan berkenaan adalah cabang kerjaya yang boleh diterokai anak muda kerana pendapatan yang baik.

"Saya bercadang mengembangkan perniagaan ini dengan membuka cawangan di seluruh Malaysia," katanya.


Khidmat terbaik pelanggan puas hati

Kuala Lumpur: Penjual kucing dari Tanah Merah, Kelantan, Ezya Ariffin, 34, menghantar 200 kucing kepada pelanggan melalui khidmat disediakan teksi haiwan peliharaan diusahakan Ikmal Syakri, 21.

"Sebelum ini saya hantar kucing menggunakan perkhidmatan lori yang menghantar barang ke destinasi berhampiran pelanggan," katanya.

Menurut Ezya, dia menggunakan perkhidmatan teksi haiwan peliharaan berkenaan setiap minggu sejak dua tahun lalu.

Katanya, sejak menggunakan perkhidmatan itu, penghantaran kucing kepada pelanggan di Kuala Lumpur, Kedah, Terengganu, Selangor dan Perak menjadi lebih lancar.

"Malah, pelanggan sangat berpuas hati kerana kucing dibeli mereka diterima dalam keadaan baik.

"Antara faktor membuatkan saya kekal menggunakan perkhidmatan teksi ini kerana harga berpatutan dan perkhidmatan sangat efisien," katanya.

Tambahan pula, katanya, Ikmal sentiasa mengemaskini perkembangan kucing sepanjang dalam perjalanan sehingga diserahkan kepada pelanggan. 

"Cara ini dapat menghilangkan kebimbangan mengenai keadaan, keselesaan dan keselamatan kucing yang menempuh perjalanan panjang," katanya.

Katanya lagi, kepuasan pelanggan menjadi keutamaannya sebagai penjual kucing.

"Antara kucing yang saya jual ialah  jenis baka persian maincoone, persian semiflat, persian, flatface, munchkin, exotic dan benggal.

"Saya sudah lama mengenali Ikmal kerana sebelum ini dia (Ikmal) pelanggan yang  membeli kucing di kedai saya.

"Dia (Ikmal) memaklumkan turut menyediakan perkhidmatan penghantaran kucing luar daripada Kelantan.

"Perkhidmatan ini perlu diperluaskan kerana peminat kucing semakin ramai dan permintaan haiwan itu juga tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 12:00 PM