GAMBAR kiri Farah Syazwan bersama keluarga. Gambar kiri adalah jualan pulut panggang yang dipromosikan di media sosial Mohd Azri. FOTO Ihsan Farah Syazwani Mohamed Lazim
GAMBAR kiri Farah Syazwan bersama keluarga. Gambar kiri adalah jualan pulut panggang yang dipromosikan di media sosial Mohd Azri. FOTO Ihsan Farah Syazwani Mohamed Lazim
Redzuan Muharam


Bachok: Demi kelangsungan hidup, pasangan suami isteri, Mohd Azri Ghazali dan Nur Farah Syazwani Mohamed Lazim berganding bahu menghasilkan juga menjual pulut panggang.

Nur Farah Syazwani, 31, berkata, hanya itu sumber pendapatan mereka ketika ini bagi menampung perbelanjaan keluarga, menyara dua anak, Nur Aisyah Humaira, 7, dan Hajib Hibatullah, 4, dan membayar sewa bulanan rumah sebanyak RM250.

Bagaimanapun, Nur Farah Syazwani yang menetap di Cabang 3, Durian Kudung, di sini berkata, laluan hidup mereka tidak mudah dan kini diuji apabila kereta Proton Saga baru dibeli suami dua minggu lalu bermasalah.

Katanya, kerosakan itu menyukarkan mereka untuk bergerak jauh khususnya bagi menghantar pesanan kepada pelanggan.

"Sebelum ini, suami ada motosikal saja namun disebabkan kerap rosak dan kena baiki dengan kos tinggi maka dia nekad untuk menjualnya.

"Motosikal itu laku dijual dengan harga RM1,300 dan duit itu digunakan untuk membeli Proton Saga model lama yang terpakai.

"Bagaimanapun, kereta itu dijual dengan harga RM1,550 dan kami baru membayar RM1,300 jadi ada hutang berbaki RM250 lagi dengan pemilik kenderaan itu.

"Sekarang tengah cari duit nak bayar baki hutang dan pada masa sama serabut juga kerana kereta itu sudah meragam apabila breknya putus hingga tak dapat jalan jauh dan terpaksa gunakan brek tangan saja buat sementara waktu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nur Farah Syazwani, tempahan diterima pula tidak menentu jadi dia dan suami runsing memikirkan nasib mereka pada hari yang mendatang.

"Sebelum ini, kami sekeluarga duduk di Klang, Selangor dan baru sebulan pulang ke kampung.

"Dulu, suami kerja sebagai jurukimpal namun ada kecederaan akibat kemalangan lalu menyebabkan dia tak boleh buat kerja berat dan dinasihatkan berhenti.

"Akibat tiada sumber pendapatan, kami berdua belajar buat pulut panggang dan menjualnya dengan harga RM1 sebiji.

"Perniagaan kecil-kecilan itu bermula bulan lalu dan buat masa ini okay cuma pelanggan perlu ambil sendiri tempahan di rumah atau kami perlu gunakan perkhidmatan penghantar barang atau minta bantuan rakan dengan bayar duit minyak kerana kereta tak boleh jalan jauh," katanya.

Berhubung kisah yang tular selepas dikongsikan di laman Facebook (Fb) IRDK Services, Nur Farah Syazwani tidak menyangka ramai prihatin dengan nasib mereka sekeluarga.

"Niat saya hantar kiriman WhatsApp kepada pengendali laman Fb itu bertujuan untuk minta tolong mempromosikan perniagaan saja selain nak cari duit baiki kereta.

"Tak sangka ramai prihatin malah semalam, saya terima tempahan siapkan 200 biji pulut panggang oleh pelanggan yang beli untuk tujuan infaq.

"Alhamdulillah, ada juga rezeki kami dan diharap keadaan kami bertambah stabil. Ini kerana pulangan berniaga tak tentu dan jika dapat RM100 sehari pun hanya untung RM40 kerana modal saja RM60," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Nur Farah Syazwani Mohamed Lazim di talian 011-1147 3886.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 6:55 PM