MENGGUNAKAN aliran realisme.
MENGGUNAKAN aliran realisme.
Muhamaad Razis Ismail


MENGANGKAT tema sejarah untuk tatapan generasi akan datang dalam setiap lukisan yang dihasilkan menjadikan Ramlee Hamzah antara pelukis cukup disegani di Kelantan.

Bukan itu sahaja, diaágemar mengetengahkan karya seni yang mempunyai unsur keindahan alam semula jadi dan budaya di negeri terbabit.

Jadi, tidak hairanlah tema yang yang diketengahkan dalam setiap lukisannya mendapat perhatian pelbagai lapisan masyarakat.

Dia pernah menyertai banyak pameran lukisan di seluruh negara termasuk Pameran Belang, Pameran Komuniti Cakna Seni Budaya dan Anak yatim dan Pameran Cakno Pelukis Kito.

Ramlee berkata, setiap pelukis mempunyai identiti tersendiri dan setiap karya dihasilkan berisi mesej yang mahu disampaikan.

Katanya, dia banyak menghasilkan karya seni mempunyai unsur dan susur galur sejarah, keindahan alam semula jadi serta seni budaya Kelantan.

"Saya mahu mengangkat sejarah di negeri ini supaya tidak luputádalam ingatan untuk tatapan generasi hari ini dan akan datang.

"Pada masa sama, melalui lukisan saya mahu memupuk semangat menghargai keindahan alam semula jadi dan membantu mengekalkan kebudayaan negeri Cik Siti Wan Kembang seperti permainan rakyat supaya terus diingati serta dihargai sepanjang hayat," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, lukisan yang dihasilkan menggunakan aliran realisme yang lebih terperinci dan halus.

TELITI dalam menghasilkan karya seni.
TELITI dalam menghasilkan karya seni.

"Oleh itu, ia mengambil masa untuk disiapkan kerana memerlukan penelitian yang mendalam," katanya.

Tambahnya, minat terhadap seni lukis bermula sejak dari kecil.

"Saya bermula sebagai pelukis pelan bangunan dan animasi dua dimensi (2D) yang banyak mengasah kemahiran dalam seni lukis.

"Selepas bapa meninggal dunia akibat penyakit paru paru berair, saya semakin aktif melukis untuk hilangkan tekanan dan kesedihan sebelum nekad untuk menjadi pelukis sepenuh masa," katanya.

BERSAMA rakan pelukis.
BERSAMA rakan pelukis.

Dia yang juga Pengerusi PELUKIS Kelantan berpendapat, masih ramai dalam kalangan masyarakat belum memahami dan menghargai seni lukis sepenuhnya.

"Mereka belum merasakan bahawa sesebuah karya lukisan itu mempunyai nilai sehingga masih ada yang meminta secara percuma tanpa memikirkan nilai susah payah seseorang artis menyiapkan," katanya.

Justeru itu, menerusi PELUKIS, diaábersama-sama rakan akan terus berjuang membantu menyemarakkan seni lukis negara bermula dengan memupuk minat dalam kalangan orang ramai.

PUTERI Singgora.
PUTERI Singgora.

"Kita mahu beri pendedahan kepada masyarakat mengenai kehebatan pelukis tanah air.

"Selain itu, kita mahu membuka minda masyarakat dan memupuk minat mereka untuk mencintai karya seni lukis sekali gus menjadi pembeli untuk merancakkan aktiviti jualan lukisan di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 6:45 AM