KARYA lukisan Suzlee bukan pernah dipamerkan di lebih 30 negara di seluruh dunia.
KARYA lukisan Suzlee bukan pernah dipamerkan di lebih 30 negara di seluruh dunia.
Oleh Hafiz Ithnin


KARYA abstrak yang dihasilkan bukan calang-calang.

Agensi lelongan antarabangsa seperti Syarikat lelongan karya lukisan bertaraf dunia, Bruun Rasmussen Auctioneers (Denmark) dan Sotheby's Auction (Hong Kong), Masterpiece Auction (Hong Kong, Singapura dan Kuala Lumpur), antara yang pernah melelong karya milik anak jati Terengganu ini.

Tatkala ditanya berapa nilai lelongan paling tertinggi pernah diraihnya, Suzlee Ibrahim yang kini Dekan Fakulti Seni Halus, Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu tidak menjawab soalan penulis, tetapi sekadar menyebut nama firma lelongan terkemuka itu. Tentunya bukan satu karya murah.

Terbaharu, pada 29 Januari lalu beliau dianugerahkan Gold Medal of Zervas Art sempena The 5th Paris Art Symposium di Novotel Paris Est Hotel, Paris, Perancis.

Bagaimanapun, lelaki 53 tahun itu sebenarnya bukan mudah untuk berada pada kedudukannya sekarang.

Apatah lagi memulakan kerjaya sebagai pelukis abstrak lebih 30 tahun lalu bukan perjalanan mudah.

SUZLEE menerima Gold Medal of Zervas Art Award pada The 5th Paris Art Symposium di Paris, Perancis Januari lalu.
SUZLEE menerima Gold Medal of Zervas Art Award pada The 5th Paris Art Symposium di Paris, Perancis Januari lalu.

Bakat seni dimiliki Suzlee mungkin diwarisi daripada bapanya, Ibrahim Ngah yang mempunyai hobi membuat pertukangan kayu.

Sebelum menghasilkan almari dan kerusi, ayahnya membuat lakaran terlebih dahulu.

"Tapi, ketika kecil ayah tidak memberi saya mengikut jejaknya. Apatah lagi untuk melukis kerana mungkin dia inginkan saya mempunyai kerjaya lebih baik daripadanya," katanya membuka menjawab soalan pertama penulis.

Minatnya dalam seni lukis mula dihidu seorang guru ketika Suzlee menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mizan Zainal Abidin yang melihat beliau boleh pergi jauh dalam bidang seni lukis.

Ternyata unjuran guru bernama Tengku Haizan Hitam itu tepat.

SENTIASA fokus dalam menghasilkan lukisan abstrak sentuhannya.
SENTIASA fokus dalam menghasilkan lukisan abstrak sentuhannya.

Katanya, Cikgu Haizan adalah graduan dalam bidang seni lukis di Institut Teknonologi Mara (ITM) yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan memberi galakkan untuk mengambil jurusan seni lukis di ITM pada 1987.

"Dahulu bidang seni lukis ini tidak popular. Ayah dan ibu, Lijah Deraman pastinya risau mengenai masa depan saya kerana memilih suatu bidang yang masih samar mengenai masa depannya. Dalam masa sama mereka berdua tidak juga melarang, tetapi hanya khuatir.

"Di ITM saya belajar banyak perkara membabitkan seni lukis yang mempunyai pelbagai cabang ilmu termasuk menelaah dalam bidang seni lukisan abstrak yang menggunakan emosi artis untuk menterjemahkan di atas kanvas," katanya.

Ketika menuntut di ITM, Suzlee juga banyak mengikuti pelbagai pameran pelukis terkenal tempatan dan senior yang mengadakan pameran di pelbagai galeri.

Bermula dari situ dia mula memasang angan-angan untuk mempunyai pencapaian sama.

Mengimbau kembali zaman beliau mula mencari tapak dalam bidang itu, dia mengakui agak sukar terutama untuk mengisi poket hidup di ibu negara.

ANTARA karya abstrak dihasilkan Suzlee.
ANTARA karya abstrak dihasilkan Suzlee.

KARYA bertajuk Camouflage No 3, Koleksi Maybank Investment Bank, Kuala Lumpur.
KARYA bertajuk Camouflage No 3, Koleksi Maybank Investment Bank, Kuala Lumpur.

KARYA Red Wall Series (Masterpiece ii) dilelong oleh Sotheby’s Hong Kong pada 2018.
KARYA Red Wall Series (Masterpiece ii) dilelong oleh Sotheby’s Hong Kong pada 2018.

Pendapatannya tidak setinggi mana kerana nilai sebuah lukisan tidak begitu ramai yang memandang.

Katanya, wang hasil jualan lukisan digunakan untuk membeli peralatan lukisan, membayar rumah sewa dan dihantar ke kampung kerana itu adalah tanggungjawabnya sebagai anak yang dipercayai menjadi berkat dalam kehidupan seorang manusia yang sudah pandai mencari rezeki sendiri.

"Pada 1993 saya mendapat rezeki untuk menjadi pensyarah sambilan di ITM dan ia menjadi permulaan untuk saya mula serius untuk membina nama dalam bidang ini kerana sambil mengajar kita juga perlu mempunyai hasil seni yang terbaik untuk dijadikan contoh kepada pelajar.

"Saya terus berkarya dengan cara tersendiri. Mengisi waktu terluang dengan menelaah ilmu dalam bidang ini dan terus melukis untuk memantapkan diri sebagai artis serta menjadi tenaga pengajar," katanya.

BERSAMA isteri, Dr Asliza antara tulang belakang penting dalam kehidupannya.
BERSAMA isteri, Dr Asliza antara tulang belakang penting dalam kehidupannya.

Impian bertonggak usahanya tidak sia-sia kerana sehingga kini sudah 38 pameran seni lukis secara solo miliknya dipamerkan bukan sahaja di tanah air, malah di lebih 30 negara di seluruh dunia antaranya Eropah yang diketahui umum mempunyai ramai artis terkenal dunia.

Katanya, ketika mengikuti isterinya, Dr Asliza Aris menyambung pelajaran di peringkat sarjana di England pada 1999 hingga 2001, Suzlee mengambil peluang menerokai bidang seni lukis di negara itu.

Dari satu ke satu galeri lukis menjadi tempat dia menghabiskan masa terluang untuk melihat karya agung artis antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 7:00 AM