LUKISAN yang menarik perhatian ramai
LUKISAN yang menarik perhatian ramai
Muhamaad Razis Ismail

"SAYA mahu lari daripada kebiasaan dalam menghasilkan setiap karya seni," kata pelukis model motosikal, Ahmad Al Hafidz Musa, 37.

Jadi tidak hairanlah, kelainan yang ditampilkan Ahmad Al Hafidz membolehkannya berdiri sebaris dengan pelukis terkenal negara.

Kreativiti dan bakat menghasilkan lukisan motosikal menjadi sebutan bukan sahaja peminat seni di dalam negara malah namanya menjadi bualan di luar negara.

Antara pencapaian terbesarnya apabila menjadi satu-satunya wakil negara dijemput menyertai pameran lukisan di Midnight Garage Festival, Paris, Perancis pada 2015.

Beberapa bulan kemudian,dia dijemput mengadakan pameran solo di Balai Seni Visual Negara.

Harga lukisannya mencecah ribuan ringgit dan mendapat sambutan dalam kalangan peminat lukisan dan motosikal di dalam serta luar negara.

SELESA menggunakan pen.
SELESA menggunakan pen.

TURUT mendapat perhatian media antarabangsa.
TURUT mendapat perhatian media antarabangsa.

Beliau cenderung melukis model motosikal klasik dan moden luar negara termasuk Triumph, Ducati serta Harley-Davidson.

Penulis yang berpeluang menemu bual Ahmad Al Hafidz di kediamannya di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini teruja dapat melihat sendiri hasil seni yang dilakarkan.

Sekali pandang, lukisan motosikal yang dihasilkan dengan pen itu seperti salinan fotostat.

Ahmad Al Hafidz mengakui sudah terbiasa dengan pandangan orang ramai yang menyangka lukisan motosikal dihasilkan seperti yang dianggap penulis tadi.

Dia menerima dengan hati terbuka pandangan itu yang dilihat sebagai penghargaan terhadap karya yang dihasilkan.

"Dalam menghasilkan setiap lukisan saya gunakan teknik garisan radikal yang tidak tertumpu kepada satu teknik sahaja.

MEMBERI penerangan kepada peminatnya di Midnight Garage Festival, Paris.
MEMBERI penerangan kepada peminatnya di Midnight Garage Festival, Paris.

PELANGGAN dari Amerika Syarikat yang membeli secara dalam talian.
PELANGGAN dari Amerika Syarikat yang membeli secara dalam talian.

"Saya selesa melukis menggunakan pen. Biarpun kesilapan yang dilakukan tidak boleh dipadam namun ia (kesilapan) secara tidak langsung menghasilkan nilai estetika tersendiri," katanya.

Ditanya pemilihan subjek motosikal, bapa kepada dua anak ini berkata, dia mahu membuat kelainan dalam penghasilan karya seni.

"Saya bermula dengan lukisan potret dan mencabar diri melukis motosikal biarpun pada ketika itu tidak pandai melukis kenderaan dua roda berkenaan yang memerlukan ketelitian. Tambahan pula pada ketika itu tiada pelukis yang benar-benar fokus menghasilkan lukisan model motosikal.

"Alhamdulillah percubaan saya membuahkan hasil apabila karya pertama motosikal yang dimuat naik di Instagram pada 2015 mendapat maklum balas positif," katanya.

Selain itu, minat mendalam sejak dari kecil terhadap motosikal turut mendorongnya menjadikan jentera itu sebagai subjek lukisannya.

"Harga setiap motosikal ini ada antaranya boleh mencecah ratusan ribu ringgit. Nak beli memang tidak mampu, jadi menerusi lukisan saya dapat realisasikan impian memiliki motosikal diidamkan," katanya.

MOTOSIKAL Harley-Davidson
MOTOSIKAL Harley-Davidson

LUKISAN motosikal
LUKISAN motosikal

MENGGUNAKAN teknik garisan radikal.
MENGGUNAKAN teknik garisan radikal.

Dia bersyukur kerana menerusi lukisanlah dia berpeluang ke luar negara untuk menyertai pameran di sebuah festival motosikal di Paris lima tahun dulu seperti yang penulis nyatakan di awal artikel ini.

"Saya berada di sana selama seminggu dan berpeluang mempamerkan lukisan motosikal bersama pelukis antarabangsa lain.

"Sepanjang berada di sana, antara pengalaman tidak boleh dilupakan apabila salah satu lukisan yang dipamerkan di situ dicuri. Perasaan marah dan bangga apabila difikirkan kembali lukisan dicuri di Paris.

"Selain itu ada juga peniaga jaket motosikal di Paris yang sanggup membuat sistem barter

menukar lukisan dengan jaket berharga ribuan ringgit," katanya.

Menurutnya, kebanyakan lukisan yang dihasilkan adalah permintaan daripada pelanggan sendiri.

"Pelanggan minta lukiskan jenis motosikal yang diinginkan dan ada juga yang buat permintaan khas untuk lukis individu tertentu menunggang motosikal itu.

KARTUNIS Aie (kiri) menjadi idolanya untuk terus berkarya.
KARTUNIS Aie (kiri) menjadi idolanya untuk terus berkarya.

"Alhamdulillah, sambutan yang diberikan sangat menggalakkan terutama pelanggan daripada luar negara," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Ahmad Al Hafidz berhasrat mengembangkan bakatnya dengan menghasilkan lukisan menggunakan subjek lain.

"Selepas enam tahun memberi fokus terhadap motosikal, saya fikir untuk hasilkan subjek baharu yang masih lagi dalam perancangan.

"Tahun ini saya akui kerjaya seni bergerak agak perlahan kerana terkesan dengan pandemik Covid-19. Bagaimanapun insya-Allah tahun depan jika tiada halangan, saya akan kembali aktif dengan menyertai beberapa pameran seni yang sudah dirancang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 7:00 AM