LUKISAN dan foto yang dipamerkan.
LUKISAN dan foto yang dipamerkan.
Muhamaad Razis Ismail

SEBANYAK 40 lukisan dipamerkan sempena Program Komuniti Cakna Seni Budaya dan Anak Yatim di Rumah Singgora di Kampung Air Deras, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Lukisan dihasilkan 25 pelukis tempatan termasuk Li Mar, Pak Ali, Leo dan ramai lagi dengan menjadikan Rumah Singgora sebagai subjek utama.

Program yang diadakan selama dua hari bermula 20 hingga 21 Disember lalu itu turut memberi ruang kepada 20 jurugambar profesional mempamerkan hasil bidikan mereka di sini.

Sempena program ini, pelbagai aktiviti menarik lain turut diadakan termasuk aktiviti melukis di lapangan, aktiviti bersama anak yatim dan persembahan wayang kulit.

Program dianjurkan Persatuan Penggiat Seni Lukis Kelantan, Ireach, Rumah Singgora dengan kerjasama Balai Seni Negara.

Turut hadir memeriahkan program adalah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman dan Ketua Kurator Kanan Seksyen Penyelidikan dan Pembangunan Industri Balai Seni Negara, Mohamad Majidi Amir.

FOTO sepanjang aktiviti di Rumah Singgora.
FOTO sepanjang aktiviti di Rumah Singgora.

LUKISAN Rumah Singgora.
LUKISAN Rumah Singgora.

Rumah Singgora dibina dengan gabungan seni bina tradisional Kelantan dan Terengganu oleh pemiliknya, Mohamad Salleh, 44, atas tanah seluas 7,000 kaki persegi.

Keunikan lokasi ini menjadi tarikan pelancong di dalam mahupun luar negara yang ingin merasai suasana kampung.

Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Abe Mat berkata, objektif utama program itu dianjurkan untuk menghimpunkan karya lukisan dan foto yang beridentitikan Rumah Singgora sebagai bahan pameran.

"Menerusi program ini, kita dapat mempertemukan dua cabang seni iaitu seni lukis dan seni foto pada satu tempat.

"Secara tidak langsung ia dapat mewujudkan satu titik pertemuan yang akan mengetengahkan lagi industri kreatif kepada pelbagai lapisan masyarakat.

"Selain itu, ia dapat menarik minat pengumpul lukisan dari luar, sekali gus mampu menjana sumber pendapatan kepada pelukis dan jurugambar yang menyertai program ini," katanya ketika dihubungi.

RUSLI (tengah) bersama gambar miliknya yang dipamerkan di Rumah Singgora.
RUSLI (tengah) bersama gambar miliknya yang dipamerkan di Rumah Singgora.

Menurutnya, selain itu pelbagai aktiviti menarik dilaksanakan untuk memeriahkan lagi program ini termasuk mengadakan aktiviti 'plein air' yang dihadiri 20 pelukis tempatan.

"Pada masa sama, anak yatim komuniti Kampung Air Deras tidak diabaikan apabila mereka diajar mewarna daripada pelukis berpengalaman menerusi sesi pendedahan seni.

"Ireach turut mengadakan program motivasi kepada anak yatim ini. Selepas itu mereka menerima sumbangan untuk meringankan beban kos sara hidup," katanya.

Tambahnya, sepanjang dua hari program berjalan, pihaknya menerima sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat setempat dan luar biarpun diadakan secara norma baharu.

"Pameran diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah pandemik Covid-19.

"Bilangan pengunjung dihadkan seramai 40 orang pada satu-satu masa dan mereka diberikan tempoh satu jam untuk melihat pameran," katanya.

SESI pendedahan seni bersama anak yatim.
SESI pendedahan seni bersama anak yatim.

MOHAMAD Salleh
MOHAMAD Salleh

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 9:29 AM