(DARI KIRI) Yusmardiah, Nur ‘Aqilah dan Faidah mengabungkan seni lukisan dan kujuruteraan elektronik dalam berkarya.
(DARI KIRI) Yusmardiah, Nur ‘Aqilah dan Faidah mengabungkan seni lukisan dan kujuruteraan elektronik dalam berkarya.
Hafiz Ithnin


"SAYA dan dua rakan lain cuba menjadikan lukisan bukan sekadar untuk dilihat tetapi ia mampu berinteraksi dengan khalayak serta memberi ilmu," jelas artis wanita berusia 28 tahun ini kepada penulis.

Lebih menarik, artis itu, Faidah Nazeri dan dua rakannya, Nur 'Aqilah Zainuddin, 29, dan Yusmardiah Yusuf, 29, mencipta hasil seni lukisan dengan gabungan sistem elektronik bagi membolehkan lukisan berkenaan mampu 'bercakap' dengan orang ramai.

Faidah berkata, dia mempunyai pengkhususan di dalam bidang seni lukis. Manakala, Nur 'Aqilah dan Yusmardiah pula mempunyai latar belakang di dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Jelasnya, seni lukisan yang mampu berinteraksi dengan khalayak itu sebenarnya sudah lama dipamerkan di luar negara dan masih belum ramai artis tempatan mengetengahkannya.

"Justeru, kami menggabungkan dua bidang ilmu yang berbeza untuk dijadikan satu karya yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai menerusi pameran seni lukisan interaktif.

"Jika sebelum ini, bagi sesetengah khalayak yang tidak begitu pakar di dalam bidang lukisan, mereka akan merasa bosan melihat sesuatu lukisan kerana tafsiran mengenainya hanya boleh difahami pelukis atau mereka yang sudah biasa dengan dunia seni itu. Malah lukisan juga tidak boleh disentuh," katanya.

Maka, idea yang dihasilkan mereka dilihat mampu menarik minat orang ramai untuk 'mencintai' seni lukisan dan dalam masa yang sama memberi manfaat kepada peminat industri seni yang lain.

PENGUNJUNG boleh menyentuh lukisan yang mempunyai sistem interaktif.
PENGUNJUNG boleh menyentuh lukisan yang mempunyai sistem interaktif.

Menerusi penghasilan lima karya lukisan menggunakan media akrilik atas kanvas, semua karya mereka membawakan tema peribahasa Melayu.

Menamakan pameran seni lukisan interaktif itu, 'Malay Proverb Interactive Artshow' yang diadakan di Galeri Shah Alam, Selangor bermula 12 Disember lalu hingga 28 Januari ini, ternyata kini mampu menarik lebih 100 pengunjung untuk berinteraksi dengan karya berkenaan.

Faidah yang juga pelajar doktor falsafah dari Falkulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam berkata, mereka mengambil masa selama tiga bulan untuk menghasilkan pameran seni lukisan interaktif itu.

Katanya, bukan mudah untuk menghasilkan karya seni yang mempunyai sistem elektronik yang bersifat interaktif kerana ia adalah hasil gabungan dua bidang ilmu dan mempunyai disiplin yang berbeza-beza.

"Tugas saya adalah untuk menyiapkan karya lukisan yang mampu menarik khalayak dan membawakan tema peribahasa Melayu berunsur pendidikan.

"Menghasilkan karya lukisan ini juga memerlukan penghayatan kerana setiap satu membawa peribahasa yang berbeza," katanya.

MEMBAWAKAN tema seni, kejuruteraan elektrik dan pendidikan di dalam pameran seni lukisan.
MEMBAWAKAN tema seni, kejuruteraan elektrik dan pendidikan di dalam pameran seni lukisan.

Tambahnya, Nur 'Aqilah dan Yusmardiah pula di bahagian elektronik di mana mereka mencipta sistem khas untuk pameran seni ini dengan menggunakan platform Arduino.

"Apabila pengunjung datang pada lukisan pertama, mereka perlu melalui 'sensor in' untuk mengesan kehadiran pengunjung, lampu akan terbuka secara automatik dan terdapat bunyi yang keluar untuk 'countdown' 15 saat.

"Dalam masa itu, pengunjung boleh menyentuh lukisan iaitu garis hitam yang terdapat pada objek utama seperti monyet, harimau, kambing dan sebagainya. Seterusnya, lukisan akan mengeluarkan bunyi," katanya.

Katanya, selepas 15 saat, pengunjung boleh menekan butang di bahagian kiri lukisan pertama bagi mendengar peribahasa atau butang kedua bagi mendengar makna peribahasa.

"Akhir sekali, pengunjung boleh keluar dari lukisan dengan melalui 'sensor out' di mana lampu dan semua sistem pada lukisan pertama akan tertutup. Langkah yang sama perlu dilalui untuk lukisan yang seterusnya," katanya.

Katanya, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat cabaran yang harus mereka lalui dalam proses penghasilan pameran itu.

LUKISAN yang dihasilkan Faidah perlu mampu menyampaikan maksud bertemakan peribahasa.
LUKISAN yang dihasilkan Faidah perlu mampu menyampaikan maksud bertemakan peribahasa.

"Memandangkan kami bertiga masih baru dalam menggabungkan kepakaran bidang ilmu masing-masing, tetapi konsep mencuba dan tidak berputus asa adalah menjadi tulang belakang di dalam kejayaan pameran seni lukisan interaktif ini.

"Kami berasa bersyukur dan gembira kerana berjaya mengadakan pameran ini dan selepas dipamerkan rata-rata pengunjung memberikan maklum balas positif kerana karya ini bukan sekadar bersifat karya seni semata-mata tetapi dapat memberi pendidikan kepada orang ramai untuk menghargai peribahasa kita yang sungguh kaya maksudnya," katanya.

Beliau berharap, pameran itu dapat memberi inspirasi kepada pengkarya-pengkarya muda untuk menghasilkan karya yang lebih mesra masyarakat dan berani berkolaborasi dengan rakan-rakan yang mempunyai ilmu luar dari bidang seni seperti, kejuruteraan, sains serta teknologi.

ANTARA lima karya yang dipamerkan kepada orang ramai secara percuma.
ANTARA lima karya yang dipamerkan kepada orang ramai secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 6:20 AM