MENGGUNAKAN sistem projektor SENSORY4.
MENGGUNAKAN sistem projektor SENSORY4.
Lizam Ridzuan


BERKESEMPATAN ke Bangkok, Thailand atas urusan kerja baru-baru ini membolehkan penulis dibawa melawat ke pameran 'Van Gogh Alive Bangkok' yang diadakan di pusat beli-belah terkemuka, Iconsiam di tepi sungai Chao Praya.

Ia dilangsungkan di dalam kawasan Dewan Attraction yang berkeluasan 4,120 kaki persegi, menempatkan paparan lebih 3,000 karya Vincent Van Gogh (1853-1890). Beliau adalah seorang pelukis terkenal dari Belanda yang dikenali dengan karya seni yang sangat khas dan inovatif.

Sedikit latar belakangnya, beliau adalah antara pelukis terpenting dalam seni post-Impresionisme, sebuah aliran seni yang menekankan penggunaan warna yang cerah, penggunaan bentuk lebih berani dan ekspresi emosi dalam karya seni.

Karya paling terkenal Van Gogh termasuk 'Starry Night,' 'Sunflowers,' 'The Bedroom,' dan 'CafÈ Terrace at Night' dan ia mencerminkan gaya yang unik serta perasaan mendalam melalui penggunaan warna dan ekspresi emosi yang kuat.

Walaupun Van Gogh meninggal dunia dalam keadaan yang tragis pada usia yang masih muda, sumbangannya dalam seni lukis memberi impak yang besar terhadap perkembangan seni moden.

ELEMEN interaktif.
ELEMEN interaktif.

Karyanya tidak hanya dikenali pengumpul seni, tetapi juga menjadi sebahagian daripada warisan seni dunia yang masih memukau dan memberi inspirasi hingga kini.

Untuk itu pameran 'Van Gogh Alive Bangkok' yang pertama kali diadakan di Thailand adalah satu daripada 80 lokasi jelajah dunia itu yang dikunjungi lebih 8.5 juta orang.

Kadar bayaran ialah sekitar RM130 (Bath 990) seorang dan ketika penulis mula melangkah masuk ke dalam ruang pameran pengunjung disambut mutiara kata pelukis itu dengan menerokai kehidupan pelukis itu lalui, mentafsir perasaan, pemikiran dan keadaan psikologinya sepanjang 1880 hingga 1890.

Pameran ini dihidupkan melalui lukisan yang diketengahkan dengan sempurna menerusi seni digital dan Teknologi SENSORY4 berciri projektor dipancarkan pada lantai dan dinding sehingga enam meter.

Tambah menarik ia diiringi dengan cahaya dan muzik klasik serta sistem audio keliling seperti berada di dalam panggung wayang premium menjadikan persembahan tambah 'hidup' dan menarik.

CENDERAMATA wajah penulis untuk kenangan.
CENDERAMATA wajah penulis untuk kenangan.

Untuk menghayati semua hasil karya yang dipaparkan perlu dilakukan dengan tidak terburu-buru malah penulis meluangkan masa yang lama di dalamnya yang dibahagikan pada beberapa bahagian lain.

Terlalu banyak ruang untuk mengambil gambar dan salah satu yang menarik ialah 'Bedroom of Arles' iaitu lukisan yang dihasilkan semula dalam bentuk tiga dimensi (3D) membolehkan pengunjung berada di dalamnya.

Lukisan ini mempunyai kisahnya dihasilkan pada 1888 oleh Van Gogh melukis kamar tidurnya dalam Yellow House dengan perabot ringkas dan hasil karyanya sendiri di dinding.

Warna terang dimaksudkan untuk menyata

kan 'berehat' atau 'tidur' yang sangat nyenyak dan dalam satu kenyataan Van Gogh sangat gembira dengan lukisan itu dan menyatakan 'Apabila saya melihat kanvas saya sekali lagi selepas sakit saya, apa yang kelihatan terbaik bagi saya ialah bilik tidur.'

Terdapat juga elemen interaktif dengan mengambil foto sendiri untuk dijadikan lukisan dengan gaya Van Gogh, selain elemen hiasan berlatarkan konsep pelukis itu antara yang disediakan untuk diabadikan dalam kenangan.

Dalam ruang lain terdapat sesi tutorial selama 10 minit melukis daripada panduan video cara menghasilkan lukisan gaya Van Gogh dan setiap sesi dengan 10 pengunjung disediakan kertas lukisan serta pensel yang kemudian hasil itu boleh dibawa pulang.

Untuk lebih intensif juga ditawarkan Kelas Seni yang menyediakan peralatan warna dan kertas lukisan lebih berkualiti buat pengunjung mahu lebih mendalami gaya seni Van Gogh.

Sebelum melangkah keluar juga disediakan bilik bunga matahari yang menjadi lokasi pilihan utama pengunjung bergambar selain terdapat hiasan 3D karya seperti 'Cafe Terrace at Night' sebagai tarikan lain untuk bergambar.

Penulis juga berkesempatan membeli cenderamata dengan mencetak wajah yang dihasilkan secara interaktif tadi pada harga sekitar RM30 untuk dijadikan kenangan.

PAMERAN seni gaya terkini.
PAMERAN seni gaya terkini.

Secara keseluruhan, pameran 'Van Gogh Alive Bangkok' ini mempunyai keunikan tersendiri yang menggabungkan elemen seni visual dan bunyi serta 3D untuk pengunjung lebih dekat dengan karya pelukis legenda dunia ini.

Ia umpama satu perjalanan kehidupannya terutama tempoh 10 tahun terakhir yang kini dipamerkan buat tatapan umum di seluruh dunia.

KELAS tutorial lukisan.
KELAS tutorial lukisan.

Sesuai buat peminat seni, aktiviti sekeluarga dan pelajar yang bukan sekadar melihat pameran interaktif malah digabungkan dengan sistem hiasan termaju sesuai dengan peredaran masa serta tarikan utama ke sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 7:00 AM