MOHAMAD Hisyamuddin turut aktif membuat pertunjukan silap mata.
MOHAMAD Hisyamuddin turut aktif membuat pertunjukan silap mata.
Muhamaad Razis Ismail

PERNAH dicaci apabila menjadikan badut sebagai kerjaya sepenuh masa tidak memutuskan semangat lelaki ini untuk serius dalam bidang yang diceburinya.

Sejak lapan tahun lalu, Mohamad Hisyamuddin Hamzah, 26, atau lebih dikenali sebagai badut hensem berdepan pelbagai cabaran dan dugaan.

Kini, dia yang berasal dari Johor Bahru sudah mampu berbangga dengan pencapaiannya apabila menjadi antara badut yang disegani di negara ini.

Bukan hanya di dalam negara, beliau turut membuat persembahan di luar negara termasuk Singapura dan Indonesia yang turut menghargai bakat bapa kepada seorang anak ini.

Kelebihan yang dimiliki bukan sahaja menghiburkan orang ramai, malah juga berkemampuan membuat pertunjukan silap mata.

Dia kini memiliki saluran YouTube sendiri yang dinamakan sebagai Chef Badut Hensem untuk melangkah lebih jauh dalam kerjayanya.

MOHAMAD Hisyamuddin bersama isteri dan anak yang banyak memberi sokongan moral.
MOHAMAD Hisyamuddin bersama isteri dan anak yang banyak memberi sokongan moral.

Mohamad Hisyamuddin berkata, semua bermula dengan sekadar suka-suka untuk menghiburkan orang ramai sebagai pendapatan tambahan.

Katanya, apabila masuk tahun ketiga, dia mula serius dengan kerjayanya itu dengan membuat secara sepenuh masa selepas mendapati permintaan luar biasa.

"Untuk permulaan saya memenuhi undangan memeriahkan sambutan hari jadi dengan bayaran sekitar RM50. Pada ketika itu saya masih baru dan terima sahaja bayaran yang diberikan.

"Kini saya bersyukur, hampir semua majlis termasuk majlis perkahwinan saya dijemput terutama pada hujung minggu.

"Alhamdulillah, selepas lama dalam bidang ini dan mula dikenali ramai, saya mampu memperoleh bayaran 10 kali ganda berbanding sebelum ini dalam setiap majlis yang dihadiri," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ketika mula menjadi badut, dia menerima banyak persepsi negatif terhadap karier yang dipilih.

"Ada sesetengah orang memandang rendah terhadap kerjaya ini yang dilihat sebagai tiada masa depan dan beranggapan badut sebagai bodoh. Ramai yang persoalkan mengapa saya berbuat demikian sedangkan saya tiada latar belakang dalam membuat persembahan.

KARAKTER badut hensem yang disukai kanak-kanak.
KARAKTER badut hensem yang disukai kanak-kanak.

"Alhamdulillah selepas masuk tahun kelima dan keenam, saya sudah tuai hasil apabila memperoleh pendapatan selesa dan orang ramai sudah mula membuka mata. Selain sudah memiliki syarikat sendiri, Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan membuka kedai menjual kostum.

"Namun, masih ada beranggapan negatif, tapi saya sudah lali dengan perkara itu demi meneruskan minat saya ini untuk menyara keluarga dengan rezeki yang halal," katanya.

Tambahnya, sepanjang lapan tahun menjadi badut, pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapi antaranya pernah ditipu.

"Saya pernah dapat jemputan untuk buat persembahan selama seminggu namun selepas segala persiapan dibuat dan apabila tiba di lokasi, saya dimaklumkan acara dibatal. Oleh itu, saya langsung tidak dapat sebarang bayaran.

"Malah, pernah juga ada dalam sesebuah majlis, penonton tidak hargai kehadiran badut," katanya.

Katanya, antara pengalaman yang tidak dilupakan apabila terpaksa membuat persembahan sehari selepas ibunya meninggal dunia pada dua tahun lalu.

"Saya tidak boleh tolak jemputan kerana sudah mengambil deposit pelanggan. Mahu atau tidak saya terpaksa berlakon gembira untuk menghiburkan orang lain biarpun masih bersedih.

BADUT menjadi sumber pendapatan sepenuh masa.
BADUT menjadi sumber pendapatan sepenuh masa.

"Pada ketika itu saya bertindak secara profesional dengan memberikan komitmen 100 peratus kerana saya dibayar untuk berbuat demikian," katanya.

Penularan pandemik Covid-19 di negara ini mengakibatkan banyak sektor terjejas. Mohamad Hisyamuddin turut tidak terkecuali apabila tidak dapat membuat sebarang persembahan.

Namun dia tidak duduk diam apabila membuat saluran YouTube untuk menghiburkan orang ramai menerusi dalam talian.

"Saya bersyukur kelainan yang dibuat ini mendapat sambutan menggalakkan dan kini saya sudah memiliki 1,400 langganan. Dalam program itu, saya akan memasak dan mengajar bagaimana membuat belon.

"Masuk episod ketiga sudah ada pihak yang tampil memberi penajaan hadiah untuk diberikan kepada penonton," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Mohamad Hisyamuddin mahu terus fokus saluran YouTube dan perniagaannya yang beroperasi pada September depan.

"Kerjaya sebagai badut ini akan jadi sebagai sampingan dan saya ada pasukan sendiri iaitu tiga lagi badut yang akan bantu saya penuhi pemintaan pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 7:00 AM