MOHAMMAD Firdaus (duduk di tengah) bersama empat badut yang bernaung di bawah syarikatnya, MrCheese DeClown Entertainment.
MOHAMMAD Firdaus (duduk di tengah) bersama empat badut yang bernaung di bawah syarikatnya, MrCheese DeClown Entertainment.
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Redzuan Muharam


Di sebalik senyuman yang terukir pada wajah ketika menghiburkan orang ramai, tersimpan seribu duka dalam diri insan bergelar badut.

Ada yang pernah mengibar bendera putih, menerima ihsan makanan daripada jiran dan mengira syiling untuk membeli susu anak antara realiti hidup yang ditempuh dek penangan wabak maut Covid-19.

Namun, demi meneruskan kehidupan, insan di sebalik wajah dan pakaian badut itu nekad untuk bangkit semula walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

Seremban: Bekerja sebagai badut sepenuh masa sejak lima tahun lalu di sekitar Negeri Sembilan, Mohd Akmal Ashraf Jamal, 31, atau lebih sinonim dengan nama pentasnya Janz De Clown mengakui pendapatannya 'kencang' kerana tawaran persembahan yang tidak putus.

Namun, Mac 2020 ternyata episod ngeri dalam profesionnya apabila 'terduduk' selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga semua tempahan persembahan dibatalkan.

"Saya akui Covid-19 menyebabkan saya hilang punca pendapatan sehingga terpaksa keluar dari rumah sewa dan menetap di rumah mentua di Kuala Pilah.

"Simpanan berkurangan dari hari ke hari sementara menunggu kebenaran persembahan dibenarkan semula namun semuanya hampa.

"Duit simpanan hanya tinggal syiling dan saya terpaksa mengangkat bendera putih untuk memohon bantuan dari masyarakat sekeliling," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, di sebalik wajah gembira, badut hanya watak sementara ketika menghiburkan tetamu namun realitinya tersimpan pelbagai kisah duka mendepani pandemik yang tidak berkesudahan.

Beliau berkata, banyak jobs hilang menyebabkan pendapatan yang mencecah lima angka sebelum ini lesap sekelip mata.

"Saya perlu kreatif mencari alternatif sehingga tercetus idea menghasilkan arang tempurung untuk menampung hidup.

"Alhamdulillah perniagaan bersama ayah mendapat sambutan namun kini dijadikan sebagai pendapatan sampingan sebaik kebenaran persembahan kembali diberikan kerajaan," katanya yang berasal dari Jitra, Kedah.

Tambahnya, kini semakin banyak permintaan persembahan diterima namun dia dan isteri Nurul Merlissa Izlyn Rozali, 25, mula menyusun strategi simpanan agar peristiwa hitam tidak lagi berulang.

Janz berkata, Covid-19 bukan saja musibah, tetapi ia juga menjadikan dirinya lebih kuat dan tabah sebagai ketua keluarga demi isteri dan anak lelakinya.

Gadai barangan kemas ketika PKP

Johor Bahru: Demi kelangsungan hidup, Muhammad Hanif Muhammad Husni terpaksa menggadai barangan kemas miliknya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Ikhtiar itu dilakukan Muhammad Hanif, 27, selepas buntu memikirkan cara mendapatkan wang selepas hilang punca pendapatan sebagai badut.

Bapa anak perempuan berusia 14 bulan yang menetap di Flat Jentayu, Kangkar Pulai, di sini berkata, sebelum PKP tahun lalu, dia lakukan tiga pekerjaan iaitu dengan mengambil tawaran mengadakan pertunjukan silap mata, badut dan menawarkan khidmat mengurut.

"Tiga-tiga pekerjaan berkenaan membabitkan perjumpaan dengan orang jadi apabila PKP dilaksanakan, hilanglah mata pencarian saya.

"Tersentak juga ketika itu namun sebagai ketua keluarga, saya tidak boleh berdiam diri tanpa melakukan sebarang kerja, jadi saya ambil upah hantar makanan.

"Mahu atau tidak, saya perlu lakukannya kerana wang simpanan ada tetapi semakin berkurangan setiap hari jadi mana mungkin saya duduk saja tanpa berbuat apa-apa? Lagipun saya ada komitmen bulanan antaranya sewa bulanan rumah sebanyak RM450," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Di samping itu, Muhammad Hanif berkata, ujian berkenaan agak berat buatnya dan mengakui ada waktunya dia hilang semangat hingga hampir berputus asa.

Bagaimanapun, Muhammad Hanif bersyukur kerana isterinya, Norhikmah Kimpi, 25, sentiasa berada di sisinya untuk memberi galakan kepadanya supaya terus kekal cekal.

"Walaupun mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysua (SPM) sahaja, saya amat bersyukur kerana ada kemahiran mengurut serta menghiburkan orang sebagai badut serta ahli silap mata.

"Kerjaya sebagai badut juga yang jadi punca rezeki sejak tujuh tahun lalu dan sebagai manusia biasa, sudah tentu saya sedih dengan apa yang berlaku.

"Sampai satu tahap, saya ada terfikir untuk tinggalkan dunia badut walaupun minat namun isteri cuba tenangkan hingga emosi saya kembali stabil," katanya kepada Harian Metro.

Muhammad Hanif berkata, kini dia sudah kembali mendapat tawaran membuat persembahan dan bersyukur kerana dapat kembali menghiburkan orang ramai.

"Kelonggaran diberi juga membolehkan saya ambil semula upah mengurut pelanggan.

"Cuma, saya tidak pasti sampai bila mahu menjadi badut kerana hanya usaha dan bergantung kepada rezeki pada masa depan," katanya.

'Duit pernah tinggal RM30 je'

Johor Bahru: "Pernah satu ketika, wang dalam dompet saya tinggal RM20 saja dan kebetulan anak teringin makan di restoran makanan segera, tetapi tidak mampu tunaikan permintaannya kerana perlu dahulukan keperluan lain," luah ibu tunggal seorang anak, Dewi Mohd Isa.

Dewi, 42, dari Bandar Baru Kangkar Pulai, di sini dulunya mencari rezeki sebagai badut sepenuh masa bagi menyara anak tunggalnya, Putra Danish Suhardi, 10, dan ibunya, Aloyah Abdul Hamid, 81, yang tinggal bersama.

Menurut Dewi, pekerjaan itu dilakukannya sejak 2017 namun hilang mata pencarian sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac 2020.

"Seingat saya, tawaran terakhir diterima sebelum PKP adalah ketika perayaan Tahun Baharu Cina dan tiada lagi selepas itu, malah pernah ke pasar raya untuk edarkan belon namun tidak ramai orang.

"Wang simpanan ada, tetapi bukan banyak mana jadi memang tidak bersedia mengharungi PKP pada waktu itu.

"Empat bulan pertama dalam tempoh PKP adalah waktu yang sukar kerana tiada majlis dan undangan persembahan berikutan sekatan pergerakan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dewi berkata, dia tiada pilihan melainkan berikhtiar mendapatkan wang kerana menggalas tanggungjawab menyara menyara keluaga sepenuhnya tanpa bantuan sesiapa.

"Sejak bergelar ibu tunggal sembilan tahun lalu, saya menanggung keseluruhan perbelanjaan dan pada awal PKP, tiada lagi moratorium jadi wang yang ada didahulukan untuk membayar ansuran bulanan rumah kemudian baru selesaikan yang lain.

"Demi kelangsungan hidup, saya cuba jual pelitup muka fabrik yang dijahit sendiri dan batu seremban dengan menghebahkannya menerusi kumpulan WhatsApp penduduk.

"Alhamdulillah, ada yang beli dan hasil jualan kira-kira RM300 saya gunakan untuk membeli bahan keperluan di pasar," katanya.

Alternatif lainnya adalah menjadi tutor bahasa Mandarin sambilan dengan mengadakan kelas secara dalam talian.

"Ikutkan, saya sudah jadi tutor bahasa Mandarin sambilan sejak 2015 cuma tiada kelas pada awal PKP jadi tidak boleh bersemuka namun saya ambil inisiatif melakukannya secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.

"Sedikit sebanyak ia membantu saya menambah pendapatan bagi menyara anak dan emak yang mengalami angin ahmar," katanya.

Biarpun berdepan ujian hebat, Dewi yang kini sudah bekerja tetap sebagai kerani di sebuah bengkel enggan berhenti mencari rezeki sebagai badut kerana masih minat dan sayangkan kerjaya itu.

"Saya pernah bekerja selama 17 tahun sebagai setiausaha sebuah syarikat swasta sebelum berhenti kerana mahu menjaga emak.

"Selepas itu, saya cuba cari rezeki sebagai badut dan banyak pengalaman ditimba sepanjang empat tahun iaitu daripada 2017 hingga kini malah pernah diperlekehkan individu yang geli melihat solekan pada wajah saya.

"Saya abaikan saja kata-kata negatif itu kerana niat hanya mahu cari rezeki untuk keluarga dan belum berhasrat tinggalkan dunia badut buat masa ini kerana puas hiburkan orang ramai malah akan teruskan kerjaya ini selagi mampu," katanya.

Badut profesional 'ubat' kegelisahan mangsa banjir

Jempol: Kegelisahan kanak-kanak mangsa banjir yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Palong Satu dan PPS Sungai Kelamah, Gemas di sini, 'terubat' apabila mereka menerima kunjungan sekumpulan badut profesional.

Diketuai oleh Mohd Akmal Ashraf Jamal Abd Nasir, enam orang badut dari Persatuan Seniman Badut Malaysia berkenaan berjaya menceriakan semua kanak-kanak.

Mohd Akmal Ashraf berkata, terdapat 50 kanak - kanak berlindung di PPS SK Palong Satu dan PPS Sungai Kelamah di sini.

Katanya, mereka turut mengagihkan buku cerita, mainan, makanan dan alat tulis kepada semua kanak-kanak terbabit.

"Kami melakukan kerja amal tanpa sebarang bayaran dan fokus mahu menggembirakan kanak-kanak di situ yang terkesan dengan banjir.

"Apabila berada di PPS, sudah tentu kanak-kanak terbabit berasa bosan.

"Usaha kami ini diharap dapat memberi sedikit hiburan kepada mereka," katanya.

Mohd Akmal Ashraf berkata pihaknya turut bekerjasama dengan pihak Pusat Komuniti Desa Serting Ilir, Persatuan Asrama Belia Malaysia Jempol dan Majlis Belia daerah Tampin.

Katanya kanak-kanak perlu diberi perhatian memandangkan mereka masih belum cukup kuat untuk menempuhi dugaan seperti banjir ini.

"Kami juga berharap, kehadiran badut ke PPS tidak disalah tafsir kerana ini antara cara kami melakukan kerja amal terutama membabitkan kanak - kanak," katanya.

SEKUMPULAN badut membuat persembahan menghiburkan kanak-kanak yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Jempol. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
SEKUMPULAN badut membuat persembahan menghiburkan kanak-kanak yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Jempol. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 8:00 AM