NAIM menjadikan badut sebagai kerjaya sambilan sejak 2021. FOTO Ihsan Naim
NAIM menjadikan badut sebagai kerjaya sambilan sejak 2021. FOTO Ihsan Naim
Redzuan Muharam


Alor Setar: Bermula dengan menghiburkan anak sendiri di rumah, siapa sangka ia menjadi titik permulaan Muhammad Shauqi Naim atau mesra disapa Naim untuk beranikan dirinya dengan menjadi badut.

Meskipun pernah dikenali selepas menyertai pertandingan Akademi Fantasia (AF) musim keenam, Naim, 35, tidak malu menjadi badut dan menghiburkan orang ramai terutama kanak-kanak di jalanan.

Menurut Naim, malu tidak bertempat tiada dalam kamus hidupnya kerana niatnya hanya untuk mencari pendapatan sampingan bagi menyara keluarga dan memanfaatkan masa terluang.

"Saya ini tiada bakat nak berniaga jadi pilih badut sebagai kerjaya sambilan kerana lebih kepada hiburan yang memang sudah sebati dengan saya.

"Awalnya dulu buat belon untuk anak di rumah saja, lama kelamaan saya terfikir mengapa tidak kembangkan bakat yang ada dengan cuba jadi badut.

"Ikutkan, tiada siapa yang ajar sebaliknya saya belajar sendiri dengan tengok video di Internet bagaimana badut di negara ini menghiburkan orang.

"Permulaan saya adalah pada 2021 dengan cuba buat persembahan di Taman Jubli Emas, Uptown dan Dataran Alor Setar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi kisahnya, Naim mengakui ada sedikit perasaan malu, gementar dan kekok untuk membuat persembahan ketika mula menjadi badut.

Bagaimanapun, pengalaman menyanyi di atas pentas banyak membantunya mengatasi perasaan gugup yang lama kelamaan hilang

Kini, dia yang dikenali sebagai Encik Nemo The Clown semakin berani dan yakin ketika membuat persembahan yang diselitkan dengan pertunjukan silap mata dipelajari sendiri serta hasil tunjuk ajar rakan badut berpengalaman.

 NAIM seronok dan tidak malu mencari rezeki sebagai badut. FOTO Ihsan Naim
NAIM seronok dan tidak malu mencari rezeki sebagai badut. FOTO Ihsan Naim

"Saya jadi badut bermodalkan RM40 dengan duit itu digunakan bagi membeli belon, pam dan topeng.

"Nak dijadikan cerita, saya bermula dengan pakai topeng muka kemudian baru solek wajah dan semuanya dilakukan sendiri setiap kali sebelum mulakan persembahan.

"Ketika buat persembahan di jalanan pada awal pembabitan dulu, saya letak tabung sumbangan seikhlas hati yang tertera nombor telefon.

"Daripada situ, ramai hubungi saya untuk panggil buat persembahan. Alhamdulillah, ramai sudah mula mempercayai bakat saya," katanya.

Menurut Naim, sambutan diterima bercampur baur kerana ramai yang suka melihat kemunculannya, segelintir kanak-kanak takut dan ada juga cuba memperlekehkannya.

"Jujurnya tak mudah jadi badut namun saya bertuah kerana dapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada rakan komuniti badut lebih otai yang tak lokek berkongsi ilmu malah itu antara pengalaman manis saya.

"Kebiasaannya, kanak-kanak lebih teruja dengan kemunculan saya namun ada juga yang takut jadi kena pandai pujuk dan beli jiwa mereka.

"Nak kata fasal diperlekehkan atau dipandang sebelah mata memang ada terutama dalam kalangan anak muda sampai ada yang tarik rambut dan hidung saya, itu belum lagi tolak dengan kasar apabila diberi belon tapi kita positif saja," katanya yang berkongsi video dan gambar persembahan di TikTok miliknya @encikk_nemo serta Facebook (Fb), Naim Naiemo.

Bapa dua anak itu berkata, selagi diterima, dia akan terus mencari rezeki dan menghiburkan orang ramai dengan menjadi badut.

Naim juga mengalukan kehadiran mereka yang yang berminat untuk mempamerkan bakat bagi memeriahkan lagi komuniti badut.

"Badut satu kerjaya yang mulia dan jika berminat, teruskan saja cuma sebaiknya cari orang lama untuk berguru dengan mereka.

"Nak cari rezeki tak boleh malu dan beranikan diri cuba apa saja bidang, yang penting rezeki itu halal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 1:56 PM